◉ HEADLINES

MPT Bersatu hormat keputusan Muhyiddin lepas jawatan Pengerusi PN: Azmin

Azmin berkata parti itu telah mendengar hujah oleh Muhyiddin malam tadi dan mempertahankan keputusan yang telah dibuat beliau atas dasar prinsip dan tanggungjawab

8:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menghormati keputusan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu telah mendengar hujah yang dibuat oleh Muhyiddin malam tadi dan mempertahankan keputusan yang telah dibuat beliau atas dasar prinsip dan tanggungjawab.

“Bagaimanapun, MPT juga membincangkan secara mendalam tentang hala tuju Perikatan Nasional dalam persiapan PRU 16 untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

“MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional, dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi MPT Bersatu telah mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhyiddin, dengan antara agenda ialah membincangkan mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Selain Muhyiddin, turut mengikut jejak beliau ialah Azmin yang turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN, disusuli dengan Pengerusi Badan Perhubungan PN Perak, Datuk Seri Faizal Azumu, Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).

Dalam pada itu, Azmin berkata, MPT juga telah mendengar penjelasan dari Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengenai krisis politik di negeri itu yang berlaruan sekian lama.

“MPT berpuas hati dengan penjelasan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis dan turut kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa Bersatu mengkhianati persefahaman dalam Perikatan Nasional.

“Bersatu menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam krisis kepimpinan di Perlis dan menasihati Menteri Besar serta Badan Pimpinan Negeri untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dalam Perikatan Nasional di negeri itu,’’ katanya. – 13 Januari, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

◉ Related