KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sekurang-kurangnya empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk bekas Panglima Tentera Darat (PTD) akan didakwa minggu depan berkait kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Kes berhubung siasatan SPRM melalui Op Parasit dan Op Star itu membabitkan pegawai tertinggi ATM serta kontraktor perolehan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih diteruskan dan beliau sudah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyegerakan siasatan.
“Saya sudah memberi arahan supaya kertas siasatan siap Isnin ini dan seterusnya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat keputusan. Dalam kes ini, sekurang-kurangnya satu atau dua pegawai akan dituduh,” katanya.
Dalam Op Parasit, SPRM menahan 23 individu, membuka 22 kertas siasatan jenayah asal dan satu kes pengubahan wang haram. Seramai 30 saksi dipanggil, manakala 27 kontraktor turut ditahan sebelum dibebaskan.
“Hasil siasatan dan perisikan SPRM berjaya mengesan aset serta bahan bukti berkaitan dalam tempoh dua minggu, satu pencapaian membanggakan hasil dedikasi dan komitmen pegawai saya,” katanya pada sidang media perkembangan terkini siasatan kes membabitkan pegawai tertinggi tentera di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Op Star yang disiasat sejak Oktober lalu turut melibatkan sekurang-kurangnya dua pegawai kanan ATM berkait rasuah perolehan dan salah guna dana kebajikan.
“Dakwaan membabitkan permintaan dan penerimaan rasuah berhubung urusan perolehan serta salah guna dana kebajikan untuk kepentingan peribadi dan aktiviti yang tidak berkaitan,” jelas Azam.
Setakat ini, SPRM menahan enam pegawai ATM dan sembilan individu awam, serta merakam keterangan 35 saksi bagi melengkapkan siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi pengubahan wang haram. – 16 Januari, 2026
