HEADLINES

Perkeso, SPRM bongkar sindiket tuntutan palsu pencen ilat

Enam individu ditahan dalam ‘Ops Stroke’; kerugian dihalang daripada mencecah RM3.78 juta

10:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pemalsuan tuntutan faedah pencen ilat selepas memberkas enam individu melibatkan Orang Berinsurans (OB) dan dalangnya yang bersekongkol.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Stroke’ adalah hasil kerjasama erat antara dua agensi berkenaan sejak 3 September, tahun lalu.

“Menerusi hasil risikan dan siasatan, enam individu berjaya diberkas, melibatkan Orang Berinsurans (OB) dan dalang yang dipercayai bersekongkol dalam pemalsuan dokumen bagi tujuan tuntutan Faedah Pencen Ilat, bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Siasatan awal mendapati jumlah faedah yang dibayar akibat tuntutan palsu ini mencecah kira-kira RM220,000. Bagaimanapun, tindakan pantas Perkeso berjaya menyekat unjuran kerugian yang lebih besar.

“Jika sindiket pemalsuan dokumen ini tidak ditangani dengan segera, nilai kerugian dianggarkan menjangkau RM3.78 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr. Mohammed Azman berkata Perkeso tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat integriti keselamatan sosial negara demi kepentingan peribadi.

“Semua permohonan tuntutan Perkeso adalah percuma dan pencarum hanya perlu berurusan terus dengan Perkeso bagi mengelakkan mereka dimanipulasi ejen atau sindiket.

“Perkeso sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada unsur manipulasi atau penipuan berlaku dan menyeru pencarum untuk sentiasa berlaku jujur serta amanah dalam mengemukakan sebarang tuntutan.

“Sebarang cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu bukan sahaja akan menyebabkan tuntutan ditolak, malah individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Mengulas kesan kegiatan tidak bertanggungjawab itu, Dr. Mohammed Azman berkata aktiviti sindiket ini bukan sekadar mengakibatkan kerugian kewangan secara langsung, malah menjadi ancaman serius terhadap kemampanan dana keselamatan sosial negara dalam jangka panjang.

Katanya, ketirisan dana akibat tuntutan palsu ini berisiko menjejaskan keupayaan Perkeso untuk menyalurkan bantuan kepada pencarum yang benar-benar layak dan memerlukan perlindungan.

“Tindakan sindiket yang memanipulasi fakta demi keuntungan peribadi ini mampu mencetuskan normalisasi penipuan dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya dibiarkan berleluasa tanpa usaha pembendungan, lebih ramai pencarum dikhuatiri akan terpedaya dengan taktik ejen yang menjanjikan kelulusan segera sehingga akhirnya memerangkap pencarum dalam kancah jenayah,” katanya. – 22 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related