KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin masih kekal sebagai Timbalan Presiden Bersatu setakat ini, demikian menurut wakil rakyat yang menghadiri acara bersama Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Perkara itu dijelaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kepada portal FMT ketika ditemui di luar kediaman bekas perdana menteri itu di Bukit Damansara.
“Hamzah belum kena buang lagi,” katanya ringkas.
Malam tadi, lebih 30 wakil rakyat Bersatu dan pemimpin kanan parti berkumpul di kediaman Muhyiddin berikutan pertikaian membabitkan kepimpinan parti yang semakin meruncing.
Mereka yang hadir termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin.
Menurut sumber kuat Bersatu, lebih 20 Adun, empat Ahli Parlimen dan beberapa ahli majlis pimpinan tertinggi menghadiri pertemuan itu tetapi mereka yang dikatakan memihak kepada Hamzah tidak hadir.
Difahamkan kem yang menyokong Hamzah memboikot acara malam tadi, manakala seorang Ahli Parlimen mengesahkan wakil rakyat yang memihak kepada Hamzah membuat keputusan untuk tidak menghadiri pertemuan itu.
“Mereka yang hadir adalah penyokong tegar Muhyiddin,” katanya.
Berikutan itu, perjumpaan khas malam tadi dikatakan terpaksa ditukarkan kepada pertemuan ini kerana hanya 18 wakil rakyat yang hadir.
Jelas sumber lagi, tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal hadir ke perjumpaan malam tadi.
Perkembangan membabitkan Hamzah dipanggil mengadap Lembaga Disiplin dikatakan menjadi agenda utama pertemuan malam tadi.
Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan dan serangan terhadap Muhyiddin. – 9 Februari, 2026
