KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menggesa siasatan dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung laporan pemilikan saham.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah turut meminta supaya tidak ada sikap dua darjat dalam isu berkenaan.
Mas Ermieyati turut mengulangi desakan supaya Azam meletak jawatan susulan laporan Bloomberg yang mendakwa beliau memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat.
“Tolong berlaku adil, jangan ada sikap double standard sebab jika orang lain yang kena (terpalit isu itu) mereka boleh disiasat.
“Ada satu keraguan yang munasabah, apabila beliau kata sudah jual (saham) pada Julai tahun lalu, maksudnya sebelum ini tidak menjadi masalahkah?
“Sedangkan anda sudah ada dalam pegangan saham berkenaan,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Mas Ermieyati berkata demikian selepas menghadiri prosiding saman pemula Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang didakwa ditandatangani tanpa dirujuk kepada Parlimen, di Mahkamah Tinggi, di sini.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mas Ermieyati dalam pada itu turut meluahkan rasa terkejut terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak gesaan supaya Azam meletak jawatan berhubung isu tersebut.
“Saya amat terkejut apabila Perdana Menteri (PM) mengeluarkan kenyataan ‘oh dia buat kerja jadi tak perlu (disiasat)’,”
“Jadi, terlalu banyak perkara yang meragukan dan perlu dijawab secara tuntas oleh Azam Baki,” katanya.
Semalam, Azam Baki menegaskan bahawa beliau telah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Beliau berkata semua urus niaga sahamnya sebelum ini dijalankan secara telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan
Azam berkata beliau telah membeli saham Velocity Capital Bhd pada awal 2025, dan kemudian melupuskan keseluruhan pegangan itu pada Julai 2025 tanpa mendapat sebarang keuntungan daripada urus niaga tersebut.
Azam memberitahu beliau juga membuat pengisytiharan berhubung pegangan saham miliknya itu melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).
Beliau juga sudah meminta peguamnya untuk menghantar surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa itu, hari ini.
Notis undang-undang itu, katanya akan dihantar sama ada ke pejabat Bloomberg di Malaysia atau ibu pejabatnya di Amerika Syarikat, dan menegaskan bahawa beliau bersedia membawa perkara itu ke mahkamah. – 12 Februari, 2026
