HEADLINES

Adakah isu ini hanya mengenai UEC atau suatu anjakan minda pembaharuan pendidikan yang lebih meluas? – Dr Boo Cheng Hau

Walaupun terdapat banyak prejudis terhadap UEC, peperiksaan tersebut dijalankan dalam tiga bahasa — Inggeris, Melayu dan Cina — yang membolehkan calon memilih bahasa mengikut keperluan subjek

8:01 PM MYT

 

Pendidikan merupakan instrumen penting mobiliti sosial. Ia membolehkan individu bergerak merentasi lapisan sosioekonomi dan, apabila dirangka secara sistemik berasaskan realiti, fakta serta penyelidikan pendidikan saintifik, ia mampu memupuk integrasi sosial dengan mengurangkan jurang pendapatan dan polarisasi etnik.

Di sesetengah negara, pihak berkuasa mengehadkan akses wanita kepada pendidikan atau mendiskriminasi kumpulan etnik tertentu dalam kemasukan ke sekolah dan universiti.

Hal ini sering berlaku kerana pendidikan memperkasa rakyat untuk menjadi lebih berpengetahuan, berdikari yang dianggap sebagai ancaman kepada pemerintahan autoritarian.

Namun demikian, hak mengundi sejagat semata-mata tidak menjamin demokrasi yang tulen. Demokrasi hanya berfungsi dengan berkesan apabila rakyat berpendidikan — bukan sahaja memahami hak dan keistimewaan mereka, malah menyedari tanggungjawab sosial dan kewajipan terhadap negara.

Dalam masyarakat majmuk, sistem pendidikan sewajarnya bersifat inklusif — menggabungkan semua budaya dan aliran pendidikan ke arah matlamat sivik bersama, sambil memelihara hak setiap warganegara untuk mengekalkan identiti budaya masing-masing serta memupuk kesalingpekaan antara pelbagai kaum dan budaya.

Dalam sejarah, Malaysia sentiasa merupakan sebuah masyarakat majmuk pelbagai budaya walaupun ia mempunyai majoriti Melayu-Muslim. Adalah suatu mitos untuk mempercayai bahawa mana-mana negara berbilang kaum boleh menjadi bersatu padu atas dasar ekabahasa sekiranya sistem pendidikannya tidak mengiktiraf kepelbagaian budaya.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan inklusif yang berasaskan realiti dan fakta, bukannya mitos, diperlukan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa, ahli sejarah mencatatkan bahawa sebanyak 110 bahasa dituturkan di Melaka, dengan bahasa Melayu berfungsi secara semula jadi sebagai lingua franca.

Penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dan bahasa pada ketika itu boleh dikatakan lebih progresif berbanding zaman moden, malahan mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab perdagangan global.

Salah satu halangan utama kepada anjakan paradigma pendidikan yang lebih mendalam ialah hakikat bahawa kebanyakan penggubal dasar sendiri telah diindoktrinasi oleh mitos yang telah lama berakar umbi.

Masih wujud kepercayaan bahawa asimilasi — berasaskan sau bangsa, satu budaya, satu bahasa dan satu agama — mampu mencapai perpaduan nasional sejati. Hakikatnya, pendekatan sedemikian sering menimbulkan polarisasi, perpecahan dan konflik dalam masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus menghadapi tentangan kerana ia memerlukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan yang statik dan dogmatik kepada sistem yang lebih pragmatik serta berasaskan realiti.

Terdapat keperluan mendesak untuk membina sistem pendidikan yang inklusif dari segi budaya dan celik teknologi, berasaskan bukti penyelidikan saintifik. Sistem pendidikan yang berpandangan jauh merupakan instrumen penting untuk memacu Malaysia ke arah status negara maju.

Dalam The Malay Dilemma, Dr. Mahathir Mohamad telah mentafsir beberapa fakta secara kurang tepat untuk menyokong visi “satu bangsa, satu bahasa, satu negara”.

Beliau memetik Amerika Syarikat sebagai contoh, dengan mendakwa bahawa bahasa Inggeris merupakan satu-satunya bahasa rasmi dan satu-satunya bahasa pengantar yang dibenarkan di sekolah, oleh itu, berjaya memperkukuhkan perpaduan nasional.

Dakwaan ini tidak tepat dari sudut perlembagaan Amerika Syarikat kerana Perlembagaan Amerika Syarikat tidak pernah menetapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Hanya pada tahun 2005 bahasa Inggeris ditetapkan bahasa untuk dokumentasi dan urusan kerajaan persekutuan¨, dan tanpa membabitkan bidang pendidikan, kesihatan atau hak sivil.

Pada era 1980-an, Amerika Syarikat menglami kemuncak gerakan pendidikan dwibahasa yang dipelopori oleh komuniti Hispanik, yang memperjuangkan patriotisme dan pendidikan dwibahasa secara serentak.

Bahasa Sepanyol dan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar bukan sahaja untuk mengintegrasikan komuniti Hispanik ke dalam masyarakat utama, malah untuk mendedahkan penutur bahasa Inggeris kepada nilai inklusiviti dan kesalingpekaan budaya.

Adalah penting untuk mengiktiraf dua realiti serentak — bahawa satu bahasa rasmi bersama diperlukan untuk urusan pentadbiran, manakala kepelbagaian budaya dan bahasa membawa manfaat sosioekonomi yang besar. Oleh itu, penggubal dasar perlu mempertahankan kerangka pendidikan yang pragmatik dan progresif.

Walaupun mempunyai pengaruh besar terhadap dasar sosial Malaysia, Dr. Mahathir dilihat kebelangkangan mengikuti perkembangan terbaru globalisasi serta irama sejarah kebangkitan dan kejatuhan tamadun. Kebangkitan negara China, misalnya, telah diramalkan oleh ramai ahli akademik dan penyelidik teknologi di Barat.

Pada tahun 1980-an, beberapa profesor universiti saya di Amerika Syarikat tertarik dengan kemampuan saya menguasai tiga bahasa, ketika mereka sedang meneroka cara membangunkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh bagi mengekalkan kepemimpinan Amerika dalam bidang teknologi tinggi dan pembangunan bakat.

Apabila saya berkongsi pengalaman mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu secara serentak bagi menghadapi peperiksaan awam seperti SPM, UEC dan SAT, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah pun bereksperimen dengan pendekatan pengajaran pelbagai bahasa.

Amalan ini mencerminkan realiti masyarakat majmuk serta arus globalisasi yang tidak dapat dielakkan.
Bertentangan dengan mitos dan naratif prejudis yang diketengahkan dalam The Malay Dilemma, sistem pendidikan Malaysia yang berorientasikan nasionalisme berasaskan kaum telah mewujudkan dilema baharu — menjejaskan daya saing bukan sahaja orang Melayu, malah Malaysia secara keseluruhan.

Negara-negara lain di Asia Tenggara, Asia Barat dan Amerika Latin telah bergerak ke hadapan dengan mengiktiraf bahasa Mandarin sebagai bahasa terpenting dalam perdagangan dan teknologi, maka sehingga memperkenalkannya sebagai subjek wajib di sekolah.

Ramai yang masih terkeliru dengan tanggapan bahawa Amerika Syarikat adalah masyarakat ekabahasa. Sejak 1980-an, banyak negeri di Amerika telah memperkenalkan pengajaran bahasa-bahasa Asia seperti Mandarin, Kantonis, Indonesia, Korea dan Jepun selain bahasa Eropah.

Sesetengah negeri turut menjadikan bahasa-bahasa ini sebagai bahasa pengantar di “sekolah imersi” yang ditaja penuh oleh kerajaan negeri, ia menjadi begitu popular sehingga kemasukan pelajar ditentukan melalui sistem undian.

Sistem pendidikan yang berkesan mestilah inklusif, terbuka kepada eksperimen, berpandukan penyelidikan pendidikan kontemporari serta responsif terhadap realiti masyarakat. Sistem yang diasaskan atas mitos, prejudis dan maklumat sesat tidak berkemampuan memajukan ekonomi sedang berbangkit seperti Malaysia ke arah status negara maju.

Walaupun terdapat banyak prejudis terhadap UEC, peperiksaan tersebut dijalankan dalam tiga bahasa — Inggeris, Melayu dan Cina — yang membolehkan calon memilih bahasa mengikut keperluan subjek.

Satu langkah positif ialah pihak penganjur UEC dan Kerajaan Perpaduan mencapai persetujuan untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam, dengan Bahasa Malaysia dan Sejarah pada tahap SPM sebagai syarat sandaran, kerana memandangkan standard akademik UEC adalah setanding dengan STPM dan program matrikulasi.

UEC diterima secara meluas oleh universiti swasta dan luar negara serta telah dikaji oleh negara maju sebagai model pendidikan pelbagai bahasa. Ia juga menyediakan alternatif pendidikan bukan berasaskan keuntungan yang dikendalikan organisasi kebajikan masyarakat, menambah baiki sistem pendidikan awam dan institusi swasta yang berorientasikan keuntungan.

Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) bukanlah institusi chauvinis Cina seperti yang dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Walaupun ditaja sebahagian besarnya melalui sumbangan komuniti Cina, sekolah-sekolah ini terbuka kepada pelajar bukan Cina.

Malah, beberapa NGO Islam yang mencari model pendidikan berasaskan kebajikan sosial dan ditaja secara sumbangan komuniti telah berinteraksi dengan pihak SMPC untuk bertukar pandangan mengenai pendidikan mampu milik berasaskan kebajikan komuniti.

Pelajar bukan Cina di SMPC menerima pengecualian yuran dan diberikan biasiswa. Sepanjang tempoh saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, saya pernah mencadangkan beberapa pelajar Melayu untuk permohonan berkenaan.

Selain pembelajaran STEM yang mencabar, mereka turut mendapat manfaat daripada disiplin yang lebih baik dan pendedahan kepada pelbagai bahasa, malahan pendekatan pembelajaran ini juga menyumbang kepada perkembangan peribadi dan intelektual mereka.

Ketika keluarga T20 dan M40 atas — termasuk keluarga Melayu berpendapatan tinggi — memilih sekolah antarabangsa berbahasa Inggeris akibat kebimbangan terhadap disiplin di sesetengah sekolah kebangsaan, SJKC, SMPC dan sekolah tahfiz yang disubsidi oleh organisasi kebajikan komuniti semakin menjadi alternatif bagi keluarga B40 dan M40 bawah yang mencari prospek lebih baik untuk anak-anak mereka.

Sekiranya perpaduan nasional benar-benar diutamakan, UEC wajar diiktiraf bersama peperiksaan aliran lain seperti IGCSE dan peperiksaan Tahfiz untuk kemasukan ke universiti awam.

Menurut perkembangan semasa, tidak menghairankan jika akan terdapat lebih ramai pelajar Melayu dan bukan Cina yang memiliki UEC dan memerlukan pengiktirafan rasmi untuk memasuki universiti awam tempatan. Penetapan syarat Bahasa Malaysia dan Sejarah SPM sebagai sandaran adalah munasabah bagi menerima pelajar daripada aliran alternatif.

Pengasingan dan diskriminasi dalam pendidikan menimbulkan polarisasi, manakala inklusiviti memupuk perpaduan melalui proses konvergensi — matlamat utama sistem pendidikan pembinaan negara. Pendekatan ini akan memperluas spektrum bakat negara.

Kesimpulannya, nasionalisme berasaskan kaum yang melampau tidak seharusnya dibenarkan menghalang usaha mengintegrasikan pelajar daripada semua latar belakang ke dalam institusi pengajian tinggi awam dan sistem pendidikan arus utama.

Perpaduan nasional tidak akan berjaya jika dibina atas mitos, tetapi mesti berasaskan fakta, bukti kajian saintifik dan data sebenar. – 16 Februari, 2026

Dr Boo Cheng Hau adalah Setiausaha Publisiti DAP Taman Ungku Tun Aminah

Topics

 

Popular

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Related