KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.
Kematian beliau dimaklumkan menerusi satu hantaran oleh ahli keluarga arwah.
Allahyarham, dilahirkan pada 18 April 1942, di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kelima pada usia 65 tahun, menggantikan Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.
Beliau bersara pada Oktober 2008.
Dikenali atas sumbangan besar kepada sistem kehakiman negara, Allahyarham telah membuka sebuah blog selepas bersara, untuk berkongsi isu undang-undang dengan orang ramai dan sering memberikan pandangan mengenai isu semasa.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad, di Surau Taman Selatan, Presint 20, di Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri yang tiba pada jam 4.50 petang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin; serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 selepas disolatkan kira-kira 200 jemaah dan diimamkan Imam Masjid Mahmudiah Presint 18, Ustaz Rafuwan Putra Affendi.
Dalam pada itu, anak perempuan Allahyarham, Murni Abdul Hamid, ketika dihubungi Bernama berkata bapanya dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak 9 Februari lepas.
Beliau meninggal dunia akibat sakit tua, di sisi isterinya Toh Puan Hamidah Choong Abdullah serta anak-anak. – 19 Februari, 2026
