HEADLINES

PM lancar NSRC, perkukuh tindakan banteras jenayah penipuan dalam talian

Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh tindakan bersepadu membanteras jenayah penipuan dalam talian yang kian berleluasa, selain memastikan respons lebih pantas terhadap aduan mangsa

4:36 PM MYT

 

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini.

Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh tindakan bersepadu membanteras jenayah penipuan dalam talian yang kian berleluasa, selain memastikan respons lebih pantas terhadap aduan mangsa.

NSRC yang berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 12 Okt 2022, NSRC boleh dihubungi melalui talian 997 dan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. Bagaimanapun, selepas dipindahkan ke Menara 2 MCMC pada 17 Nov lepas, pusat berkenaan beroperasi 24 jam sehari.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Terdahulu, Anwar tiba pada 2 petang dan terus menuju ke aras 17 Menara 2 MCMC untuk meninjau operasi pusat berkenaan.

Beliau kemudian menyampaikan amanat ringkas kepada petugas NSRC sebelum menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian.

Langkah memperkasa NSRC selaras dengan pendekatan kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan digital negara dan melindungi kesejahteraan rakyat daripada ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Keupayaan NSRC bertindak pantas termasuk menyelamatkan wang mangsa diperkukuh melalui kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bank komersial yang kini ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.

Pusat berkenaan berperanan sebagai hab penyelarasan utama dalam mempercepat proses pengesanan dan pembekuan aliran dana yang terlibat dalam aktiviti penipuan, di samping memperkukuh mekanisme tindak balas terhadap laporan diterima daripada orang awam. – March 3, 2026

Topics

 

Hangat

Foreign workforce drops 13% as Malaysia pushes local hiring

Government maintains hiring freeze, prepares new levy system to curb dependency by 2030

Malaysia’s medal tally takes a dent after key sports excluded from Glasgow Commonwealth

OCM accepts decision of badminton and squash, among others, being axed from 2026 Games as organisers plan for a leaner, more financially sustainable event

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

Related