KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil langkah fiskal yang kukuh dan bersifat proaktif bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil sekiranya konflik di Asia Barat berterusan.
Justeru, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Tengku Seri Zafrul Abdul Aziz menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan situasi semasa yang boleh mengelirukan masyarakat .
Jelasnya, setakat ini kerajaan telah mengadakan dua mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan persiapan menghadapi kesan krisis di Asia Barat.
Setiap kementerian juga, katanya telah diminta membuat persediaan awal bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya krisis tersebut berpanjangan.
“Saya menasihatkan pada pihak tertentu, janganlah kita kelirukan rakyat dan janganlah mempolitikkan semua isu ini kerana kalau kita lihat berbanding negara lain, negara kita dalam keadaan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran ini.
“Kalau lihat dari sudut ekonomi, kedudukan negara masih kukuh kerana dua hingga tiga tahun kebelakangan ini kita telah memperkukuh economic fundamentals (asas ekonomi),” katanya, lapor Bernama.
Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas berkaitan perkembangan konflik Asia Barat berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dengan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.
Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah seterusnya untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, antara langkah yang diambil kerajaan termasuklah usaha penjimatan serta mengekalkan subsidi bahan api bagi mengurangkan tekanan kos kepada rakyat.
“Walaupun harga minyak di seluruh dunia dah naik, untuk RON95 terutamanya Budi Madani RON95 (BudiI95), harga tetap pada RM1.99.
“Ia melibatkan subsidi kerajaan dan jika tidak diberikan, harga minyak akan naik. (Langkah) ini menunjukkan keprihatinan kerajaan,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, pengalaman ketika harga minyak dunia melonjak pada 2022 menunjukkan kerajaan berupaya mengekalkan subsidi tanpa membebankan rakyat.
Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengekalkan subsidi bahan api walaupun harga minyak dunia naik mendadak ketika ini, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. – 15 Mac, 2026
