Kuala Lumpur – Tan Sri Mohd Hassan Marican dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaraskan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Hassan, yang juga Ketua Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan, akan meneliti tindakan harian yang perlu diambil selain mengumpul maklum balas berkaitan isu Asia Barat.
“PPPK ini mempunyai sekretariat yang dipengerusikan oleh Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein. Dua struktur ini akan membantu MTEN, yang kini bersidang setiap minggu, untuk menyelaraskan maklumat secara harian,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkaitan kerjasama mengekang penipuan (scam) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), hari ini.
Fahmi menjelaskan tugas pasukan yang dipimpin Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang meneliti perkembangan ekonomi semasa susulan konflik tersebut.
“Apa yang penting, usaha kita ialah memastikan bekalan negara terjamin — bukan sahaja bahan api dan tenaga, tetapi juga bekalan makanan. Pada masa sama, kita perlu pastikan harga barang terkawal dan aktiviti menyeludup atau menyeleweng bahan api serta makanan dapat dikekang,” katanya.
Sejak 28 Februari lalu, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Tehran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan AS di beberapa negara Arab. – 3 April, 2026
