HEADLINES

Hamzah masih berteka-teki hal ‘rumah baharu’, beri bayangan sertai parti sedia ada dalam PN

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan istilah ‘rumah baharu’ tidak semestinya merujuk kepada parti baharu, malah memberi isyarat kemungkinan menyertai parti dalam PN termasuk PAS

10:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terus mencetus tanda tanya mengenai status ‘rumah baharu’ politiknya, apabila memberi bayangan ia mungkin bukan parti baharu, sebaliknya sebuah parti sedia ada yang kini berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menjelaskan kekeliruan timbul kerana istilah ‘rumah baharu’ tidak semestinya merujuk kepada entiti politik yang baru ditubuhkan secara rasmi.

“Dia bila kita kata rumah baharu tu, apakah ia merupakan parti baharu ataupun parti yang sedia ada? Jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan.

Ya… kemungkinan parti yang sedia ada. Insya-ALLAH, apa salahnya (menyertai Pas). Pada saya rumah saya itu rumah baru saya, tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada,” katanya ketika ditemui selepas program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, semalam.

Hamzah turut mencetuskan teka-teki apabila menyatakan parti tersebut mungkin sudah pun menjadi komponen dalam PN.

“Menyertai ataupun sudah ada dalam Perikatan Nasional? Sebab itu saya kata tadi kita kena tunggu. Parti baru saya, tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN,” ujarnya.

Beliau menepis kritikan bahawa tindakannya meninggalkan Bersatu tidak wajar, menegaskan kedudukannya sebagai ahli Parlimen masih atas mandat PN dengan sokongan majoriti rakan sejawat.

“Saya masih lagi bersama Perikatan Nasional. Hari ini saya bertanding pun atas watikah yang diberikan oleh Perikatan Nasional.

19 daripada 25 ahli Parlimen (Bersatu) bersama dengan saya. Siapa yang tidak wajarnya? Mungkin dia ‘minoriti’ sepatutnya tidak wajar duduk di situ,” katanya.

Hamzah turut mengesahkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari seluruh negara bakal mengikut jejak langkahnya.

Mengenai hala tuju, beliau menekankan perjuangan politiknya berlandaskan kepimpinan Melayu yang adil, berpegang pada prinsip agama dan Rukun Negara.

“Yang penting adalah perjuangan itu harus diteruskan. Hari ini kita membincangkan masalah orang Melayu. Orang Melayu mahu melihat negara ini terus dipimpin oleh pemimpin Melayu yang tahu bagaimana nak memberikan keadilan kepada semua,” jelasnya.

Hamzah sebelum ini dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada 13 Februari 2026, selepas Lembaga Disiplin parti mendakwa beliau melanggar perlembagaan parti. Susulan itu, timbul desas-desus bahawa beliau bakal memimpin Parti Keluarga Malaysia, dengan pengasasnya Khairi Jaya mengesahkan usaha membuka laluan kepadanya hampir pasti. – 5 April, 2026

Topics

 

Popular

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

Related