KUALA LUMPUR – Harga minyak jatuh di bawah AS$100 setong selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada kebenaran Tehran untuk laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Ketika artikel ini ditulis, minyak mentah Brent susut 13.20 peratus kepada AS$94.85 manakala West Texas Intermediate merosot 14.58 peratus kepada AS$96.48 setong, lapor Bernama.
Menurut rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes: “Apa yang kita lihat sekarang bukanlah perubahan struktur, sebaliknya lebih kepada pelarasan mekanikal terhadap premium risiko geopolitik yang sebelum ini telah diambil kira berdasarkan senario terburuk.
“Pergerakan di bawah AS$100 sebahagian besarnya disebabkan oleh pelupusan pegangan (positioning), dan dalam keadaan dagangan Asia yang tipis, pelarasan itu boleh dengan mudah berlaku secara berlebihan.
“Dalam jangka masa terdekat, harga minyak boleh kekal di bawah AS$100, namun paras sokongan adalah rapuh. Tanpa penyaheskalasi yang konkrit di sekitar Selat Hormuz, risiko lonjakan semula masih sangat tinggi,” katanya.
Menurut Innes, gencatan senjata dua minggu itu memberi ruang kepada pasaran untuk bernafas tetapi tidak menyelesaikan isu utama, kerana ketiadaan kemajuan nyata dalam membuka semula selat tersebut boleh menyebabkan harga meningkat semula.
Tambahnya, risiko dari segi bekalan masih wujud akibat kerosakan infrastruktur yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki.
Pada masa sama, katanya,isyarat jelas bahawa selat itu kekal terbuka kepada trafik akan membantu menurunkan harga dengan lebih lanjut.
Dalam senario tersebut, harga boleh kembali menghampiri AS$90 setong jika penyaheskalasi berterusan.
Hasil yang lebih optimistik bergantung kepada keselarasan diplomatik yang berterusan, walaupun perkara ini masih tidak pasti.
Sementara itu, pasaran masih belum sepenuhnya mengambil kira jangkaan bahawa selat itu akan kekal terbuka, katanya.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan tindakan ketenteraan selama dua minggu terhadap Iran susulan perbincangan dengan pemimpin Pakistan.
Trump berkata selepas perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Darat Marshal Asim Munir, beliau bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, bergantung pada Iran membuka semula Selat Hormuz “sepenuhnya, serta-merta dan dengan selamat”, lapor Anadolu Ajansi
Innes turut menyatakan pertimbangan politik domestik Amerika Syarikat mungkin mengehadkan konflik berpanjangan, khususnya memandangkan negara itu merupakan pengeluar minyak terbesar dunia.
Sementara Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata gencatan senjata dua minggu akan membolehkan kapal melalui Selat Hormuz, yang mengendalikan 20 peratus bekalan minyak global.
Penyaheskalasi lanjut, jika dapat dicapai, akan membuka jalan kepada pembinaan semula kemudahan minyak dan gas. Ini akan membantu mengurangkan kekangan bekalan.
“Pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur. Apa yang pasaran mahukan ialah kepastian bahawa konflik akan berakhir dan perniagaan boleh disambung semula.
“Walau bagaimanapun, ia masih di peringkat awal. Keadaan semasa sangat tidak menentu. Oleh itu, jangkakan harga minyak mentah kekal tidak stabil dalam jangka masa terdekat,” katanya. – 8 April, 2026
