KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan mendapatkan penjelasan daripada polis mengenai dakwaan beberapa wartawan diarah memadamkan gambar dan video ketika membuat liputan kes ceroboh melibatkan sebuah pusat hiburan di Cheras, baru-baru ini.
Menurut Fahmi, media perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas selagi mereka memperkenalkan diri sebagai wartawan yang bertugas.
“Saya kesal dengan apa yang telah berlaku. Bagi rakan-rakan wartawan, mereka perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas. (Setakat ini), saya belum diberikan maklumat sepenuhnya apa yang telah berlaku tetapi saya akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia untuk mendapatkan kepastian.
“Secara dasarnya, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas selagi mana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai seorang wartawan yang bertugas,” katanya, lapor Bernama.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan polis mengarahkan beberapa wartawan untuk memadamkan semua gambar dan video yang diambil di tempat kejadian melibatkan kes serangan di sebuah pusat karaoke di Cheras, baru-baru ini.
Hari ini Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sekali lagi merakamkan kebimbangan terhadap insiden melibatkan pegawai polis dan wartawan.
Dilaporkan, tiga wartawan daripada akhbar berbahasa Cina yang bertugas membuat liputan susulan kes rusuhan di sebuah pusat karaoke di Cheras telah diarahkan untuk memadamkan semua foto dan video yang dirakam di tempat kejadian.
Mengenai kes gangguan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Saya tidak terima laporan, saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media ataupun melalui laporan media. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran, maka apa tindakan yang perlu disusuli itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pada sidang media di sini hari ini mengakui berlaku salah faham antara anggotanya dan petugas media ketika siasatan kes tersebut.
“Dalam polis melaksanakan tugas operasi ada sedikit salah faham polis arah (wartawan) padam gambar, saya sahkan perkara itu berlaku.
“Peranan polis dan media saling melengkapi, polis jalan tugas wartawan juga jalankan tugas kadangkala ada berlaku conflict of interest.
“Apa yang saya nak, isu sebegini selesai secara baik (kerana) masing-masing ada peranan,” katanya .
Fadil turut memaklumkan sebanyak 45 individu termasuk dua pelajar sekolah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kejadian itu, katanya, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pesaing perniagaan serta dendam, dengan kumpulan berkenaan disyaki direkrut oleh sebuah kongsi gelap.
“Lebih 60 orang terlibat dan setakat ini kita telah menangkap 45 orang berumur antara 14 hingga 50 tahun. Kita percaya masih ada lagi dalang, orang tengah dan pihak atasan yang masih bebas,” katanya. – 8 April, 2026
