◉ HEADLINES

Aturan kerja fleksibel sektor swasta perlu dilaksana berfasa, hak pekerja dilindungi: Kesuma

Lebih 3,000 organisasi laksana AKF sejak 2023 yang memberi manfaat kepada 1.2 juta pekerja

3:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menegaskan pelaksanaan aturan kerja fleksibel (AKF) oleh sektor swasta perlu dilakukan secara tersusun, berfasa dan berpandukan garis panduan jelas selaras dengan Akta Kerja 1955, khususnya Seksyen 60P dan 60Q.

Kementerian dalam kenyataan berkata, seksyen berkenaan memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF dan mewajibkan majikan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh ditetapkan.

AKF tidak hanya terhad kepada bekerja dari rumah (BDR), malah merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal serta susunan kerja fleksibel seperti minggu kerja mampat, giliran dan kerja berasaskan hasil.

“Kesuma ingin menegaskan bahawa majikan tidak boleh mengambil tindakan seperti pemotongan gaji atau pengurangan faedah terhadap pekerja yang melaksanakan BDR, kecuali terdapat persetujuan baharu yang melibatkan perubahan keseluruhan waktu kerja. Jaminan ini penting bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi serta memberi keyakinan kepada tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan pengaturan kerja yang lebih fleksibel,” kata kenyataan itu.

Data TalentCorp menunjukkan lebih 3,000 organisasi telah melaksanakan AKF sejak 2023, memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja.

Sejumlah 62% majikan melaporkan peningkatan produktiviti, manakala 70% pekerja mencatatkan kepuasan kerja lebih tinggi.

Lebih 90% organisasi turut melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk antara 15 hingga 20%.

Kesuma menegaskan dapatan ini membuktikan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi dalam situasi mencabar, malah meningkatkan produktiviti, keseimbangan hidup dan kerja serta membantu pengekalan bakat dalam pasaran buruh negara.

Namun kementerian turut memberi perhatian terhadap risiko kesejahteraan psikososial yang mungkin timbul, termasuk tekanan, ketidakseimbangan kerja–hidup, pengasingan sosial dan cabaran komunikasi.

Berikutan itu, Kesuma menggesa majikan memastikan pelaksanaan AKF disokong dengan pengurusan kerja jelas, komunikasi berempati, waktu kerja munasabah serta sokongan kesejahteraan mental seperti akses kaunseling. – 9 April, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

◉ Related