KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan semua instrumen perundangan termasuk mengekstradisi mana-mana individu bagi membantu siasatan dakwaan kegiatan manipulasi korporat.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, siasatan dijalankan di bawah jenayah serta pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan proses masih berjalan.
Beliau turut memaklumkan mendapat taklimat dari masa ke semasa oleh polis yang menjalankan siasatan.
“Kalau berada di luar negara, kalau ada keperluan untuk mereka itu kita ambil kenyataan bagi membantu melengkapkan satu siasatan, semua proses untuk membolehkan kita membawa pulang mereka, kita akan gunakan.
“Perkembangan (siasatan) itu sedang berjalan dengan baik. Saya diberikan taklimat dari semasa ke semasa oleh pihak polis yang menjalankan siasatan. Saya tidak ada sebab untuk mencurigai soal kompetensi di pihak polis,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, hari ini.
Pada 18 Mac, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata ahli perniagaan Victor Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini berada di luar negara. – 12 April, 2026
