HEADLINES

Wan Saiful sedia ikut jejak Hamzah sertai PAS

Dakwa Muhyiddin masih ‘gila talak’ jawatan PM; Wan Saiful beri bayangan bakal tinggalkan Bersatu demi perpaduan ummah

9:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau kini terbuka kepada sebarang kemungkinan, termasuk kembali menyertai Pas, sekiranya itu keputusan yang dipersetujui oleh kumpulan pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Wan Saiful yang juga bekas ahli seumur hidup Pas menyatakan keyakinan bahawa bekas Ketua Pembangkang itu akan melibatkan semua kepimpinan terlibat sebelum memuktamadkan hala tuju politik mereka.

“Hamzah pemain pasukan atau team player. Saya yakin apabila beliau buat keputusan, beliau akan bincangkan dengan semua kami yang terlibat dan kami akan bersama-sama buat keputusan,” katanya lapor Sinar Harian.

Kredibiliti Hamzah dilihat sebagai aset besar yang mampu memperkukuh blok pembangkang menjelang PRU16. Wan Saiful menyifatkan tawaran daripada pelbagai pihak sebagai bukti kepimpinan Hamzah diiktiraf.

“Saya rasa banyak parti yang menjemput Hamzah kerana keikhlasan dan kebolehannya memimpin memang boleh disaksikan oleh semua. Maka saya tak terkejut kalau Hamzah diterima oleh Pas. Saya pula terbuka dengan semua pilihan,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, beberapa tokoh termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, menyatakan kesediaan mengikut langkah Hamzah, manakala Penyelaras Reset Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyarankan Pas menerima Hamzah bagi menarik sokongan merentasi kaum.

Wan Saiful turut melemparkan kritikan pedas terhadap hala tuju semasa Bersatu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau mendakwa reaksi Bersatu terhadap isu perpindahan ini akan mendedahkan “wajah sebenar” parti tersebut.

“Kita akan dapat lihat nanti sama ada Bersatu adalah parti yang memperjuangkan perpaduan ummah atau tidak. Jika mereka menghalang maksudnya Bersatu hanya sudah jadi ‘kuda’ Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merebut kuasa.”

“Kita sedia maklum Muhyiddin masih gila talak dengan jawatan Perdana Menteri dan Azmin perlukan Muhyiddin untuk talian hayat politiknya. Sikap yang ditunjukkan oleh Bersatu akan menentukan persepsi sama ada Bersatu parti perjuangan atau hanya parti yang nak menjulang Muhyiddin saja.”

Dalam nada berbeza, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menegaskan parti itu langsung tidak menghiraukan destinasi politik Hamzah dan kumpulannya.

“Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Bersatu di Terengganu semalam, kita tidak ambil peduli pun ke mana Hamzah dan kumpulannya nak pergi. Hamzah dan pengikutnya bukan lagi ahli Bersatu. Terpulang kepada mereka hendak ke mana,” tegas Tun Faisal.

Namun, beliau sempat menitipkan pesanan berbaur amaran kepada mana-mana parti yang berhasrat menerima kumpulan tersebut.

“Hamzah sudah tidak ada nilai di mata pemimpin parti lain selepas beliau bukan lagi Timbalan Presiden Bersatu. Pihak yang hendak ‘menumpangkan rumah’ kepada Hamzah dan kumpulannya supaya berhati-hati kerana mereka tidak peduli akan perlembagaan dan disiplin parti.” – 17 April, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related