HEADLINES

[TONTON] Roblox, PS5, permainan dalam talian tidak termasuk dalam sekatan media sosial bawah 16 tahun di Malaysia: Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Komunikasi berkata pelaksanaan berperingkat Akta Keselamatan Dalam Talian mensasarkan platform media sosial utama terlebih dahulu, sambil menekankan pendekatan berhati-hati kerajaan dan tanggungjawab ibu bapa dalam keselamatan dalam talian

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketika Malaysia sedang bersiap sedia menguatkuasakan sekatan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun mulai Jun ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menjelaskan peraturan berkenaan tidak melibatkan larangan menyeluruh terhadap platform permainan dalam talian popular.

Sekatan yang dijangka berkuat kuasa seawal Jun ini adalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026 selepas diwartakan di Parlimen pada Disember 2024.

Undang-undang itu bertujuan mengurangkan kandungan dan risiko berbahaya dalam talian termasuk penipuan, gangguan serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Bercakap dalam episod Scoop Insight, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata kerajaan akan memulakan pelaksanaan terhadap platform media sosial berlesen yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.

“Itulah cara kita bermula. Kita tidak mahu terlalu bercita-cita besar,” katanya sambil menambah bahawa memasukkan platform permainan dalam fasa awal tidak praktikal.

Teo Nie Ching ketika menjadi tetami Podcast Scoop Insight baru-baru ini. – Gambar Scoop, 7 Mei, 2026

Di bawah pelan semasa, platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook perlu melaksanakan langkah pengesahan umur. Namun, ekosistem permainan yang membolehkan interaksi sosial masih berada di luar skop larangan tersebut.

Mengakui wujud potensi risiko di platform permainan, Teo berkata peraturan semata-mata tidak mampu menangani keselamatan dalam talian sepenuhnya.

“Saya fikir itu mungkin langkah seterusnya untuk dipertimbangkan. Jika benar kita menerima banyak aduan bahawa semua platform permainan ini juga tidak selamat, maka sudah tentu kerajaan akan mempertimbangkan untuk campur tangan, mungkin juga menjadikan mereka pemegang lesen,” katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini turut menyuarakan pendirian sama dengan menyatakan bahawa kerajaan tidak bercadang menyekat perkhidmatan pesanan di platform yang belum mendaftar lesen.

“Menyekat akses adalah jalan terakhir; kami tidak mahu ke arah itu. Apa yang kami mahu bukan sahaja internet pantas tetapi platform internet yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya pada November 2024.

Tanggungjawab ibu bapa kekal penting

Dengan platform permainan dikecualikan buat masa ini, Teo menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam melindungi anak-anak di internet. Beliau menekankan kewujudan alat kawalan ibu bapa yang menurutnya mudah untuk dilaksanakan.

“Saya tidak fikir keseluruhan proses mengambil masa lebih daripada 30 minit. Tetapi akhirnya, ia bergantung kepada sama ada ibu bapa merasakan ini penting untuk memastikan keselamatan anak mereka,” katanya sambil menambah bahawa ibu bapa yang menghargai keselamatan dalam talian akan meluangkan masa untuk menyediakan langkah tersebut.

Teo turut menegaskan kepentingan menetapkan batasan kepada anak-anak yang menggunakan permainan dalam talian untuk berhubung dengan rakan-rakan.

“Anda perlu memberitahu mereka, contohnya, supaya tidak berkongsi maklumat peribadi, tidak berkawan atau bercakap dengan orang yang tidak dikenali dalam talian,” katanya.

Beliau menyatakan banyak risiko dalam talian bukan berpunca daripada platform itu sendiri, tetapi daripada tingkah laku pengguna, sambil menegaskan ONSA perlu dilihat sebagai perlindungan asas dan bukannya penyelesaian menyeluruh.

“Saya fikir undang-undang dan peraturan itu ada, tetapi pematuhan dan kesediaan orang ramai untuk mematuhi undang-undang juga sama penting,” katanya sambil mengibaratkannya seperti undang-undang tali pinggang keledar yang wujud tetapi tidak sentiasa dipatuhi secara konsisten.

Melindungi kanak-kanak di internet, tambah beliau, memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan ibu bapa, pendidik dan penyedia platform.

“Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini kepada kerajaan atau sekolah atau guru semata-mata. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, ini adalah tugas kita,” katanya.

Teo turut menekankan bahawa kanak-kanak hari ini ialah “generasi digital asli” yang membesar dengan akses internet tanpa batasan, berbeza dengan generasi terdahulu yang terdedah kepada media lebih terkawal seperti televisyen dan akhbar.

“Anda perlu mendidik anak-anak dan berbincang dengan mereka untuk mengajar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya.

Kemungkinan peluasan pada masa depan

Walaupun platform permainan dikecualikan buat masa ini, Teo tidak menolak kemungkinan pengawalseliaan pada masa depan jika risiko semakin ketara. Kerajaan akan meneliti maklum balas dan menilai keadaan semasa pelaksanaan berlangsung.

“Kami akan terus memantau situasi semua platform permainan ini. Jika kami merasakan ada keperluan, kami boleh meminda definisi pemegang lesen pada bila-bila masa dan memasukkan platform permainan,” katanya.

Buat masa ini, fokus kekal kepada penguatkuasaan pengesahan umur bagi platform media sosial utama sambil menggesa ibu bapa memainkan peranan aktif dalam mengurus pendedahan anak-anak mereka di ruang dalam talian yang masih belum dikawal selia. – 7 Mei, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related