KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), menjadikan jumlah keseluruhan RM150 juta pada tahun ini.
Perdana Menteri ketika mengumumkan mengenai peruntukan berkenaan berkata, ia berikutan prestasi baik Mitra dalam melaksanakan program yang bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat India.
“Mitra adalah program khas kerana ia boleh digabungkan pandangan-pandangan sarjana, elit India dan wakil-wakil pesatuan India. Tapi harus kita baiki program itu supaya betul-betul sampai kepada kelompok yang memerlukan.
“Kalau tanya saya, satu juta cukup? Tidak… Tapi kalau katakan hanya satu juta, itu tidak benar. Oleh kerana saya lihat mutakhir ini, prestasi Mitra itu baik, saya setuju. Mulai tahun ini, kita tambah. Jadi RM150 juta,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Dalam ucapannya itu juga, Anwar menegaskan bantuan diberikan kepada masyarat tanpa mengira kaum bagi membasmi kemiskinan.
“Saya nak sebut pada anak-anak, termasuk yang masyarakat India, bila kita sebut kemiskinan tegar, semua rakyat, tanpa kecuali Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.
“Kita beri jaminan, (semua kaum) mesti dibebaskan daripada kemiskinan tegar.
“Bagi rakyat yang miskin tegar, kita bantu semua tanpa kecuali. Begitu juga dalam beberapa program dan kementerian akan kita pantau,’’ katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
