HEADLINES

Episod Marina Ibrahim jejas peluang DAP di Johor: Ronnie Liu

Kontroversi pemindahan Marina Ibrahim dari Skudai ke Tiram serta tawaran jawatan GLC mencetuskan persepsi negatif, kata Ronnie Liu, yang memberi amaran langkah itu boleh merosakkan imej reformis DAP dan melemahkan usaha mendekati pengundi Melayu di Johor menjelang PRN

5:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu memberi amaran bahawa cara parti itu menangani isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, boleh menjejaskan usaha mendekati pengundi Melayu di Johor.

Menurut Liu, keputusan DAP Johor mahu memindahkan Marina ke kerusi Tiram – kawasan majoriti Melayu yang dianggap kubu kuat Barisan Nasional – serta tawaran jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai “pampasan” jika tewas, mencetuskan persepsi negatif.

“Marina dihantar ke ‘suicide mission’ di Tiram sambil dijanjikan jawatan badan berkanun. Ia dilihat sebagai penggunaan pemimpin Melayu untuk agenda pilihan raya, bukan sebagai rakan kongsi sebenar,” katanya di Facebook.

Marina undur diri, surat bocor cetus kontroversi

Marina, 38, mengumumkan persaraan dari arena politik pada 31 Mei selepas satu penggal di Skudai, dengan alasan mahu mengelak konfrontasi politik berterusan.

Surat yang bocor di media sosial mendakwa DAP Johor merancang memindahkannya ke Tiram dan menawarkan jawatan GLC jika tewas. Marina tidak mengesahkan kesahihan surat itu.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, kemudian menjelaskan Skudai memang ditetapkan sebagai kerusi satu penggal, dengan rancangan jangka panjang menempatkan Marina di kawasan bukan tradisi untuk meluaskan pengaruh parti.

Liu menegaskan Marina antara sembilan ADUN Melayu DAP di seluruh negara dan memainkan peranan penting membina imej parti berbilang kaum.

“Isu ini bukan lagi masalah PR, tetapi cabaran terhadap identiti DAP sebagai parti reformis dan berbilang bangsa. Pesaing politik akan guna kontroversi ini untuk menguatkan naratif perkauman,” katanya.

Beliau turut mendakwa episod itu boleh melemahkan kredibiliti DAP di mata masyarakat sivil yang selama ini menyokong parti atas dasar reformasi dan menolak politik patronage.

Marina tinggalkan politik dengan bermaruah

Dalam satu lagi hantaran, Liu menyifatkan keputusan Marina meninggalkan politik secara senyap dan bermaruah patut dihormati.

“Ramai mahu kekal YB selama mungkin. Marina berbeza, dan sebab itu saya rasa perlu bersuara untuknya. DAP harus muhasabah cara melayan pemimpin muda yang berpotensi,” katanya.

Liu yang keluar DAP pada 2023 mendakwa kontroversi ini turut menjejaskan moral dalaman parti dan melemahkan kedudukan Teo Nie Ching sebagai pengerusi DAP Johor menjelang PRN ke-16 negeri itu.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon, undi awal dan pengundian dalam tempoh 60 hari. – 2 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Best results since 2013: SPM 2024 shows improvement across the board

14,179 students scored straight A’s, significantly increasing from 11,713 last year and highest number in over a decade

Related