◉ HEADLINES

“Tok Abah” akhiri tugas Ketua Pengarah J-Kom bermula esok

Ismail berkata peluang memimpin J-Kom adalah satu pengalaman bermakna sepanjang perkhidmatannya bersama warga jabatan itu dan melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang dilakar sejak Januari 2025 hingga kini

2:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop hari ini mengumumkan penamatan tugasnya selepas lebih setahun menerajui jabatan itu dan memaklumkan bakal menggalas amanah baharu selepas ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ismail yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Abah” berkata setiap perjalanan hidup mempunyai titik pertemuan dan perpisahan manakala setiap pengakhiran membuka ruang kepada permulaan yang baharu.

“Hari ini adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai Ketua Pengarah J-Kom. Insya-Allah, saya akan menggalas amanah baharu, di tempat baharu demi agama, bangsa dan negara dengan semangat serta iltizam yang sama,” katanya.

Ismail yang juga bekas Timbalan Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dilantik ke jawatan itu pada 15 Jan tahun lepas bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Dr Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan perkhidmatannya pada September 2023.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah J-Kom bermula 1 Mac 2023 bagi menggantikan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

Ismail berkata peluang memimpin J-Kom adalah satu pengalaman bermakna sepanjang perkhidmatannya bersama warga jabatan itu dan melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang dilakar sejak Januari 2025 hingga kini. 

“Sekiranya ada yang boleh diterima sebagai kejayaan, ini bukanlah hasil usaha individu tetapi lahir daripada semangat kerja berpasukan, kesetiaan dan komitmen seluruh warga J-KOM,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan itu, rakan strategik, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang menggalas amanah itu.

“Saya juga memohon maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatan serta mendoakan yang terbaik buat semua. Terima kasih atas segala kenangan, pengalaman dan persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan ini,” katanya.

J-Kom berperanan memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan di peringkat komuniti, selain fungsinya diperkemas bagi memperkukuh hubungan antara kaum melalui program dan aktiviti jabatan itu. – 7 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Sedia pinda undang-undang kekang jenayah babit pesakit mental: Dzulkefly

Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan 'tiket sedemikian' untuk melakukan jenayah, namun sebarang pindaan perlu diperhalusi

Selebriti TV, Sheahnee dedah ibunya ‘diganggu’ ketika dalam Koc Wanita oleh sekumpulan remaja lelaki

Bekas personaliti televisyen, Sheahnee Iman Lee meluahkan rasa kesal dengan sikap 'keras kepala' segelintir kaum lelaki yang berdegil dan masih lagi memasuki koc wanita yang disediakan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

◉ Related