HEADLINES

Saya tidak pernah anggap Umno musuh dalam Kerajaan Perpaduan: Anwar

Anwar berkata, kestabilan politik dan kerjasama dalam kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah penting demi kesejahteraan rakyat

9:14 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menganggap Umno musuh di dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya bekerja seperti biasa demi rakyat.

Ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malam tadi, Perdana Menteri berkata, kestabilan politik dan kerjasama dalam kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah penting demi kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga pengerusi PH turut memberi contoh bagaimana kerjasama dilakukan termasuk dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya bukan nak bermusuh, belah kanan Timbalan Perdana Menteri yang juga presiden Umno….kita bekerja seperti biasa kerana kasih pada rakyat.

“Saya ketua Pakatan Harapan…Umno, saya tidak pernah anggap mereka sebagai musuh dalam Kerajaan Perpaduan,’’ katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan kepimpinan tertinggi yang lain.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai manakala pengundian bagi Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos ini.

Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam urusan melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan sebaliknya segala perkara perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Meskipun terdapat pelbagai pandangan berhubung sistem beraja di negeri itu, Kerajaan Persekutuan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri serta institusi Yang Dipertuan Besar.

“Saya tahu di Negeri Sembilan ada juga yang tak setuju dengan keputusan saya. Saya tak campur, saya tidak campur dalam urusan negeri,” kata beliau.

Anwar berkata beliau serta wakil kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Undang di negeri itu, namun menegaskan beliau tidak mempertikai Adat Perpatih mahupun sistem dan perlembagaan negeri.

“Apakah saya tidak hubungi Undang? Saya ada hubungi Undang… saya tidak pertikai Adat Perpatih, Undang, Luak, saya tak pertikai. Itu perlembagaan negeri tetapi sementara ini, semua belum teratur dan beres, kita ada menteri besar, kita ada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan pertikaian politik sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara dan sistem Raja Berperlembagaan.

“Kita kata kita sokong sistem raja, tetapi pada masa sama bekerja untuk menggulingkan raja. Saya tidak setuju. Apa-apa perubahan mesti ikut peraturan perlembagaan,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat Negeri Sembilan memberi mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri itu dan sokongan berkenaan penting bagi membolehkan Aminuddin dilantik semula sebagai Menteri Besar.

“Sekarang, saya minta mandat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan… bagi mandat ini, Tok Min (Aminuddin Harun) dilantik sebagai Menteri Besar.

“Insya-Allah, masa depan Negeri Sembilan lebih terjamin. Masa depan negeri ini adalah masa depan pekerja, peniaga-peniaga kecil,” katanya. – 13 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related