KUALA LUMPUR — Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu besar hingga menjadikan pemerintah Empayar Hun, Attila The Hun kelihatan seperti ‘budak koir’ jika dibandingkan dengannya.
Ia merupakan antara alasan penghakiman bertulis setebal 810 muka surat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, yang dikeluarkan hari ini.
Hakim Sequerah, yang kini merupakan hakim Mahkamah Persekutuan, menggambarkan apa yang telah dianggap di dalam dan luar negara sebagai antara kes kleptokrasi terbesar di dunia, lapor Bernama.
Attila the Hun merupakan pemerintah Empayar Hun yang digeruni pada abad kelima dan terkenal kerana mengetuai kempen ketenteraan yang memusnahkan banyak kawasan di seluruh Eropah.
Beliau dikenali kerana kemusnahan, kekejaman dan penjarahan yang dilakukan sehingga mendapat gelaran “The Scourge of God” (Bala Tuhan).
Kempen-kempennya menimbulkan ketakutan meluas dan menyebabkan kerosakan besar kepada bandar-bandar serta wilayah yang berada di bawah kawalan Rom.
“Besar kemungkinan ia telah melepasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah Malaysia, ia bukan satu rekod yang membanggakan,” kata Sequerah.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.4 bilion terhadap Najib, 72, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hampir enam bulan kemudian, dalam penghakiman bertulis penuh yang dinanti-nantikan, hakim itu berkata perbicaraan yang bermula pada Ogos 2019 mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan dan ia merupakan satu rekod yang tidak diingini oleh mana-mana mahkamah.
Menurut hakim, tempoh prosiding yang panjang mencerminkan kerumitan kes tersebut, yang melibatkan bukti dokumentari yang meluas, ramai saksi serta dakwaan berkaitan salah satu skandal kewangan terbesar negara.
Beliau berkata, selepas perbicaraan berlangsung untuk suatu tempoh, negara ini, malah sebahagian besar dunia dilanda pandemik Covid-19.
Hakim berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik itu memaksa mahkamah menangguhkan perbicaraan beberapa kali.
“Akibat pelaksanaan sekatan pergerakan, sebanyak 19 hari perbicaraan terpaksa dibatalkan, manakala sembilan lagi tarikh perbicaraan hilang kerana individu yang terlibat dalam prosiding didapati positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat kepada mereka yang disahkan positif,” kata Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Beliau berkata, perbicaraan akhirnya disambung semula dan pada ketika itu, mungkin ada yang beranggapan bahawa cabaran paling besar, sekurang-kurangnya dari segi kelancaran perjalanan perbicaraan, telah pun berlalu. – 16 Jun, 2026
