KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,638 syarikat disyaki terlibat membuat tuntutan palsu di bawah program insentif penggajian Dana Kerjaya 2.0, mencecah kira-kira RM45 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, menerusi operasi Op Daya yang diadakan berterusan di seluruh negara, ia membawa kepada 97 tangkapan sejak siasatan dimulakan pada 9 Jun lalu.
Jelasnya, sebanyak 63 kertas siasatan dibuka dan 97 individu termasuk 11 ejen serta 86 pemilik syarikat ditahan dalam operasi yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu.
“77 orang telah direman manakala sitaan melibatkan harta alih bernilai RM74,198 termasuk emas, wang tunai dan lain-lain, selain 36 akaun syarikat dibekukan dengan jumlah keseluruhan RM463,076.92.
“Tiada had masa ditetapkan bagi proses siasatan berkenaan. Kita tak perlu terburu-buru dan kita tidak mengejar waktu. Kita (SPRM) nak lengkapkan siasatan berdasarkan kepada kerjasama yang kita peroleh daripada Perkeso bukan saja ibu pejabat tetapi di negeri-negeri.
“Jadi maknanya apabila kita dapat kerjasama yang baik dan apabila telah dilengkapkan penyiasatan tersebut, kita akan mulakan pendakwaan,’’ katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.
Dana Kerjaya adalah inisiatif kerajaan di bawah Perkeso dan merupakan skim insentif penggajian serta latihan, bertujuan membantu golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas serta pekerja sektor tidak formal mendapatkan pekerjaan.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, modus operandi yang dikenal pasti adalah data individu disalah guna untuk tuntutan insentif, saguhati sekali beri diberikan kepada pekerja walaupun tuntutan penuh sudah dibuat serta maklumat OKU digunakan untuk bayaran kepada pihak lain.
Menurut Abd Halim, siasatan mendapati penyelewengan terbabit berlaku dalam tempoh 2024 hingga 2025 apabila beberapa syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dengan mengisytiharkan pekerja yang tidak bekerja di syarikat mereka bagi tujuan mendapatkan insentif penggajian kerajaan.
Pada 9 Jun lepas, SPRM menahan 73 individu, terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat di seluruh negara, kecuali Perlis, disyaki terbabit sindiket pemalsuan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan nilai kira-kira RM9 juta.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025, dengan membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 18 Jun, 2026
