HEADLINES

Lumba haram berdepan penjara hingga lima tahun bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan

Sebagai contoh, Loke berkata sekiranya dua atau lebih penunggang motosikal berlumba atau menguji kelajuan sesama sendiri di jalan awam, tindakan boleh diambil di bawah seksyen berkenaan walaupun tiada kemalangan berlaku

5:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hukuman penjara hingga lima tahun terhadap individu yang disabit kesalahan dalam lumba haram atau menduga kelajuan di jalan raya merupakan antara yang terlibat dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, di bawah pindaan baharu RUU itu, bagi kesalahan pertama, individu yang didapati berlumba atau mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan raya boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Sabitan kali kedua atau kali kemudian, hukuman yang lebih berat diperuntukkan, iaitu denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau pemenjaraan hingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberitahu, di bawah pindaan itu, peruntukan baharu Seksyen 42A menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, tindakan terhadap aktiviti lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan pemanduan berbahaya, namun peruntukan sedia ada tidak memperuntukkan secara khusus kesalahan berlumba atau menduga kelajuan, lapor Bernama.

Ia sekali gus, ujar beliau, boleh menimbulkan cabaran dari sudut penguatkuasaan apabila perbuatan berlumba dapat dikesan, tetapi syarat atau unsur yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan di bawah peruntukan lain tidak dapat dibuktikan dengan mencukupi.

“Sehubungan dengan itu, Seksyen 42A diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan yang khusus di bawah akta ini,” katanya.

Tindakan penguatkuasaan, katanya boleh diambil terhadap aktiviti tersebut tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.

Beliau berkata sebagai contoh, sekiranya dua atau lebih penunggang motosikal berlumba atau menguji kelajuan sesama sendiri di jalan awam, tindakan boleh diambil di bawah seksyen berkenaan walaupun tiada kemalangan berlaku.

“Begitu juga jika sekumpulan pemandu kenderaan bermotor menggunakan jalan awam untuk menguji kelajuan kenderaan secara tidak sah, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan ini,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata RUU berkenaan turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang selama ini menjadi cabaran kepada agensi penguat kuasa.

Di bawah seksyen baharu itu, katanya, mana-mana individu yang menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa atau menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penguatkuasaan boleh dikenakan tindakan.

Ia turut melibatkan tindakan menyebarkan maklumat operasi kepada pihak yang melakukan kesalahan supaya mereka dapat mengelakkan tindakan undang-undang.

“Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan ini juga merupakan kesalahan boleh tangkap.

“Pindaan ini bertujuan menutup jurang tersebut supaya operasi penguatkuasaan, khususnya terhadap kesalahan seperti lebih muatan, kenderaan tidak patuh syarat dan kesalahan kenderaan perdagangan, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut Loke, pindaan Akta 333 itu juga menyentuh penyelarasan kadar denda minimum, penalti dan had kompaun bagi beberapa kesalahan tertentu dengan peningkatan kadar daripada RM300 kepada RM500, namun tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.

“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini menaikkan had maksimum tawaran kompaun, manakala kadar sebenar masih tertakluk pada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan … penguatkuasaan kadar maksimum kompaun baharu ini dicadang untuk dimulakan pada 1 Jan 2029,” katanya. – 23 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related