HEADLINES

Isu ekstradisi pengasas Bestinet: Malaysia belum terima permohonan rasmi Bangladesh

Menteri Dalam Negeri berkata walau tiada perjanjian ekstradisi dengan Bangladesh, Malaysia sedia nilai kes Aminul Islam di bawah Seksyen 12

10:24 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Putrajaya mengesahkan bahawa tiada sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Bangladesh atau wakil diplomatiknya diterima setakat ini bagi mengekstradisi ahli perniagaan kontroversial, Aminul Islam Abdul Nor.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, sebarang tindakan ekstradisi hanya akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi keseluruhan proses perundangan yang ketat di bawah undang-undang Malaysia.

“Kerajaan hanya boleh mempertimbangkan untuk mengekstradisi individu itu atau mana-mana individu selepas semua proses perundangan berkait permohonan ekstradisi dipenuhi.

“Proses ekstradisi di Malaysia adalah berdasarkan kepada dua legislatif iaitu Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) dan Traktat Ekstradisi di antara Malaysia dan negara asing dan sekiranya Malaysia tidak mempunyai traktat dengan negara asing, proses ekstradisi masih boleh dilaksanakan berdasarkan Seksyen 3 Akta 479,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (PH).

Tiada perjanjian ekstradisi, guna saluran Seksyen 12

Mengulas lanjut, Saifuddin mendedahkan bahawa Malaysia dan Bangladesh pada waktu ini tidak terikat dengan sebarang traktat ekstradisi khusus. Walau bagaimanapun, proses tersebut masih mempunyai ruang perundangan tersendiri sekiranya Dhaka mahu meneruskannya.

“Oleh demikian, sekiranya pihak Bangladesh ingin memohon supaya individu itu diekstradisi ke Bangladesh, permohonan perlu dibuat kepada Menteri Dalam Negeri melalui wakil diplomatik negara itu selaras dengan Seksyen 12 Akta 479,” jelas beliau.

Sebelum ini, media pada Oktober tahun lalu melaporkan bahawa Dhaka cuba menuntut ekstradisi dua ahli perniagaan Bangladesh yang didakwa menjadi dalang utama dalam sindiket pengubahan wang haram, pemerasan, serta pemerdagangan pekerja asing.

Mengulas isu berkenaan, Saifuddin memaklumkan kes terbabit kini berada di bawah pengendalian rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pendekatan kerjasama Kerajaan ke Kerajaan (G2G) dan Polis ke Polis (P2P) bersama Bukit Aman.

Aminul Islam merupakan pengasas dan bekas pengerusi Bestinet—syarikat penyedia Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan secara meluas oleh kerajaan Malaysia untuk menyaring kemasukan tenaga kerja asing.

Walaupun beliau yang berasal dari Bangladesh kini memegang status warganegara Malaysia dan tidak lagi mengemudі kerusi pengerusi, Aminul difahamkan masih mengekalkan pegangan saham dalam syarikat pembekal sistem integrasi tersebut. – 24 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related