HEADLINES

Caj komponen bukan profesional hospital swasta punca utama kenaikan premium insurans: PAC

Faktor utama inflasi bukanlah yuran profesional doktor yang telah dikawal sejak 2013, tetapi lonjakan caj komponen bukan profesional termasuk bekalan dan peralatan, ubat-ubatan, peningkatan harga ubatan, caj ujian diagnostik dan makmal

5:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peningkatan premium insurans kesihatan bukan berpunca daripada yuran profesional doktor sebaliknya akibat lonjakan caj komponen bukan profesional hospital swasta yang tidak tertakluk kepada kawal selia.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia turut merangkumi kos penggunaan teknologi dan rawatan yang lebih mahal, kos operasi hospital swasta yang semakin meningkat seperti tenaga kerja, utiliti dan teknologi, serta kos litigasi dan rawatan defensif juga semakin memberi tekanan.

“Faktor utama inflasi bukanlah yuran profesional doktor yang telah dikawal sejak 2013, tetapi lonjakan caj komponen bukan profesional termasuk bekalan dan peralatan, ubat-ubatan, peningkatan harga ubatan, caj ujian diagnostik dan makmal,’’ katanya.

Teks pembentangan penyata PAC berhubung isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impaknya kepada kesihatan awam itu dibacakan oleh Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali yang juga Ahli PAC, mewakili Mas Ermieyati di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Laporan penyata itu turut mendapati ketiadaan struktur pengebilan hospital swasta yang standard menyebabkan kos sebenar perkhidmatan dan item asas tidak dapat dicerminkan secara telus.

Menurut PAC, harga ubat yang tinggi sering digunakan bagi menampung kos operasi lain yang tidak dicaj secara langsung seperti kos kejururawatan dan utiliti, selain PAC menemukan amalan memecahkan caj (unbundling) bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan alkohol swab yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik atau perkhidmatan asas.

PAC turut mendapati wujud amalan diskriminasi harga apabila hospital mengenakan kadar caj lebih tinggi kepada pesakit yang menggunakan surat jaminan (GL) berbanding mereka yang membayar secara tunai atau menggunakan kaedah pay-and-claim (bayar dan tuntut).

Selain itu, beliau berkata terdapat mark-up median yang tinggi pada pelbagai peringkat rantaian bekalan ubat, termasuk keadaan di mana ubat generik di hospital kadangkala dicaj lebih mahal daripada ubat berjenama (innovator).

Beliau berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan kewujudan lebih 1,500 jenis ubat yang hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar di Malaysia, sekali gus mewujudkan monopoli yang membolehkan penetapan harga tinggi tanpa persaingan.

“Sehubungan itu, PAC mengemukakan 17 syor kepada kerajaan bagi menangani peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta, termasuk mempercepat pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG), meminda undang-undang bagi membolehkan kawal selia caj hospital swasta selain yuran doktor,” katanya.

Syor tersebut termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mesti menetapkan mekanisme pengawalan harga ubat dan peralatan perubatan supaya kekal munasabah, selain meneroka sumber bekalan terus daripada pengeluar dengan mengutamakan pengeluar tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal atau kartel tertentu.

KKM juga disyorkan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi memberi kuasa kepada kementerian mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta selain yuran doktor.

Sementara itu, seramai 12 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang membahaskan penyata itu yang antara lain menggesa kerajaan memperketat kawal selia caj hospital swasta dan harga ubat, meningkatkan ketelusan industri insurans dan mempercepat pelaksanaan pembaharuan DRG.

Mereka turut menggesa KKM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkepentingan memperkukuh kerjasama bagi membendung inflasi kos perubatan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen turut menggesa kerajaan meningkatkan pelaburan dalam sistem kesihatan awam selain mencadangkan kajian semula undang-undang berkaitan insurans, pembekuan kenaikan caj hospital universiti sehingga alternatif mencukupi disediakan serta mengenakan cukai lebih tinggi terhadap hospital swasta yang meraih keuntungan besar daripada sektor pelancongan perubatan. – 25 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related