KUALA LUMPUR – Rakyat perlu mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk membuat pilihan yang tepat ketika memilih wakil rakyat kerana akan ada antara mereka yang akan menjadi exco negeri dan menteri.
Penganalisis pilihan raya, Dr. G Manimaran berkata, apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah jika tersalah pilih wakil rakyat, mereka akan menjadi exco atau menteri yang tidak cekap dalam mentadbir negeri atau negara.
“Masalah dan kerisauan saya ialah rakyat belum cukup kekuatan untuk memilih wakil rakyat yang betul, kalau salah pilih dia akan jadi Exco, Menteri yang tidak cekap.
“Dia kena lain level. Cara berfikir, buat perancangan dan sebagainya. Itu sangat penting,’’ katanya dalam wawancara di Podcast Scoop Insight berkenaan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bersama hos Habibah Omar dan Suzan Ahmad.

Manimaran yang juga penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir juga merupakan bekas wartawan berkata, parti yang bertanding perlu memainkan peranan dengan mengutamakan prinsip kesusilaan dan menunaikan janji kepada rakyat.
Tambahnya, rakyat perlu memilih mereka yang betul-betul dirasakan mempunyai kredibiliti dan mempunyai karisma untuk menjadi wakil rakyat tanpa mengira parti dan menggunakan platfom pilihan raya untuk membina negara.
Ditanya mengenai pemilihan parti dan calon yang bertanding, Manimaran memberitahu, pengundi akan memilih pihak yang boleh memberikan mereka kestabilan ekonomi dan kualiti hidup terjamin.
“Mudah sahaja, kalau kita sebagai pengundi, apa yang kita nak? Saya nak air satu gelas di atas meja tiap-tiap hari. Makanan. Macam mana kita nak dapat makanan itu? Kita kena ada duit, termasuk kita kena ada peluang pekerjaan. Amat mudah.
“Kadang-kadang yang merumitkan ialah ahli politik. Kalau saya bertanding, saya nak memastikan kualiti kehidupan setiap rakyat tu terjamin,’’ katanya.
Jelasnya, itu antara kemahuan generasi muda malah dua pertiga daripada pengundi adalah orang muda dan mereka mahukan jaminan kerana itu sesuatu yang sangat penting.
“Itu jaminan yang orang muda nak sebab dia tak peduli nak bergaduh ke, nak berjawatan, mereka nak perkara yang penting termasuk tata kelola urus tadbir yang bersih tanpa rasuah,’’ katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditetapkan pada 11 Julai ini manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos. – 24 Jun, 2026

