KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pemimpin politik paling popular di negara ini dengan mencatat kadar sokongan 52 peratus dalam tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Centre.
Tinjauan oleh organisasi bebas itu yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April lalu menyaksikan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berada di kedudukan kedua dengan kadar sokongan 50 peratus.
Ia diikuti oleh diikuti Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 36 peratus, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli ( 32 peratus), Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (28 peratus) dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang memperoleh kadar sokongan 25 peratus.
Sementara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 24 peratus.
Seramai 1,209 responden berusia 18 tahun ke atas telah ditemubual menerusi telefon dalam tinjauan ini.
Menurut Merdeka Center, walaupun terdapat ketidaktentuan antarabangsa yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi, 42% pengundi Malaysia masih percaya negara sedang berada di landasan yang betul, tidak berubah daripada angka yang direkodkan pada Disember 2025 dan Februari 2026.
Namun, separuh daripada responden atau 50% masih tidak yakin, dengan menyatakan negara sedang menuju ke arah yang salah.
“Menariknya, ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh antara Jun dan Ogos 2025, apabila kurang daripada empat daripada sepuluh rakyat Malaysia merasakan negara berada di landasan yang betul,’’ kata kenyataan itu.
Selain itu, mengikut kumpulan etnik, 39% responden Melayu berkata negara berada di landasan yang betul, berbanding 50% dalam kalangan responden Cina dan 33% dalam kalangan responden India.
Mengikut kumpulan umur, responden berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatat sentimen positif tertinggi pada 57%, manakala mereka yang berumur 51 hingga 60 tahun merupakan kumpulan yang paling kurang optimistik iaitu hanya 32%.
Mengenai faktor yang mempengaruhi pandangan mereka yang menyatakan negara berada di arah yang salah, 53% responden menyebut kebimbangan ekonomi sebagai sebab utama.
Antara kebimbangan utama termasuk keadaan keseluruhan ekonomi, kos sara hidup yang tinggi dan harga bahan api.
“Begitu juga, apabila ditanya mengenai isu terbesar yang dihadapi rakyat negara ini pada masa kini, 73% responden mengenal pasti isu berkaitan ekonomi, menunjukkan peranan utama kebimbangan ekonomi dalam membentuk penilaian awam terhadap keadaan negara. Trend ini adalah konsisten merentasi semua kumpulan etnik.
“Tinjauan itu turut memperlihatkan ekonomi masih menjadi kebimbangan rakyat dengan lima perkara dibangkitkan iaitu kos sara hidup yang tinggi, pendapatan minimum, harga minyak yang tinggi, pengangguran dan keadaan ekonomi secara keseluruhan yang tidak menggalakkan,’’ katanya.
Sementara itu, 51% responden menyatakan rasa tidak puas hati apabila ditanya mengenai cara kerajaan menguruskan ekonomi, sedikit lebih tinggi berbanding 46% yang menyatakan mereka berpuas hati.
Namun begitu, tinjauan berkenaan mendapati berbanding trend keseluruhan sepanjang 2025, ketidakpuasan terhadap pengurusan ekonomi kerajaan telah menurun dengan ketara. – 25 Jun, 2026
.
