KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menzahirkan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi perkenan memulakan istiadat sebelum Undang Luak Sungei Ujong menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda.
Tuanku Muhriz berkenan menerima penzahiran kejadian Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dengan gelaran Datuk Klana Petra.
Baginda kemudian menzahirkan harapan supaya segala janji dilafazkan akan sentiasa dipegang penuh keikhlasan, amanah dan rasa tanggungjawab.
“Beta mengingatkan agar Orang Kaya beta sentiasa menjunjung taat setia kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dan penuh hormat dengan beta dan istana,” titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin.
Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Tuanku Muhriz bertitah bahawa hubungan terjalin atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan muafakat merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan beraja, kedaulatan adat serta kesejahteraan negeri.
Baginda turut menyeru seluruh rakyat supaya berganding bahu dengan kepimpinan adat dalam memperkemas dan melaksanakan segala urusan serta tanggungjawab adat sebaik-baiknya, selain terus menghormati dan menjunjung tinggi nilai adat diwarisi sejak turun-temurun.
Muhammad Faris dilahirkan pada 30 Okt 1997, memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan turut memperoleh kelayakan profesional menerusi program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 2022.
Muhammad Faris, 28, mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab.
Istiadat akan bersambung pada petang ini dengan Tuanku Muhriz perkenan penzahiran Undang Luak Rembau ke-22. – 27 Jun, 2026
