HEADLINES

Kes dana Armada: Nasib Syed Saddiq diketahui esok

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

10:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui nasibnya esok sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

Rayuan itu telah didengar selama dua hari dan pihak-pihak selesai berhujah di hadapan tiga panel berkenaan pada 12 Dis 2025.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Semasa rayuan akhir pendakwaan pada 12 Dis, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar  memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pada 17 Dis 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Peguam Negara telah mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – 29 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Turning criticism into strength: TMJ on surviving smear campaigns and public scrutiny

Johor’s Crown Prince, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, shares his perspective on handling public criticism, smear campaigns, and the challenges of leadership, emphasising resilience, faith, and inner strength as keys to rising above negativity

Govt to raise alcohol excise duty by 10% from November 2025, tobacco taxes also up: Anwar

Prime Minister says the move, announced under Budget 2026, aims to promote healthier lifestyles and reduce access to alcohol and tobacco, with additional revenue channelled to the Health Ministry

Shahril Mokhtar may step down from Selangor FC after six years of service, to focus on new role at Destini Bhd

Deputy president of FAS hints at stepping away from club role to concentrate on corporate leadership following his appointment as CEO of Destini Bhd

Related