KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Kangar, Datuk Fathul Bari Mat Jahya dan dua lagi bekas pengarah syarikat diarahkan membayar semula wang kutipan tiket penerbangan jemaah umrah sebanyak RM492,480 kepada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan haji dan umrah.
Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi selepas permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman ditolak.
Hakim Leong Wai Heong dalam keputusannya berkata, Fathul Bari, Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff gagal membuktikan wujud keadaan khas yang membolehkan penangguhan pelaksanaan penghakiman hanya kerana mereka telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
“Kes ini sangat jelas bahawa bagi penghakiman berbentuk wang, hakikat bahawa terdapat rayuan tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka, yang merupakan pengarah dan pemegang saham syarikat Rehla Travel Services Sdn Bhd yang kini telah ditutup, membayar kos sebanyak RM5,000.
Pada 9 Disember tahun lalu, Leong menolak rayuan ketiga-tiga mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memutuskan bahawa mereka telah melakukan penipuan dengan enggan memulangkan wang yang dikutip daripada jemaah haji dan umrah.
Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memihak kepada KRS Travel Sdn Bhd, yang menuntut semula RM492,480 yang dibayar kepada Rehla bagi pembelian tiket penerbangan.
Pada 8 Januari, mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mereka diwakili peguam Mohd Shahril Madisa, manakala KRS Travel diwakili Teoh Bi Shan.
Mengikut fakta kes, pada Februari 2020, KRS membayar RM492,480 kepada Rehla untuk membeli tiket penerbangan ke Madinah dan Jeddah bagi jemaah umrah.
Rehla, sebagai ejen tiket Malaysia Airlines Bhd (MAB), telah membuat pembayaran kepada syarikat penerbangan itu.
Bagaimanapun ketika pandemik Covid-19, tiket dibatalkan oleh MAB dan Rehla kemudiannya menghentikan operasi.
MAB telah memulangkan kira-kira RM1.3 juta kepada Rehla, termasuk jumlah RM492,480 milik KRS.
Mahkamah Sesyen sebelum ini memutuskan bahawa ketiga-tiga pengarah Rehla melakukan fraud, dengan penghakiman berjumlah RM492,480 memihak kepada KRS. – 29 Jun, 2026
