HEADLINES

Pengguna diminta lapor kepada BNM jika masih dikenakan fi RM1 pengeluaran di ATM milik bank: Fahmi

Bagi mengelakkan kekeliruan, Fahmi menasihatkan pengguna supaya mengenal pasti ATM milik bank melalui logo bank yang dipaparkan pada mesin berkenaan, berbanding mesin kendalian pihak ketiga

1:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengguna yang masih dikenakan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik bank diminta membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata tindakan susulan boleh diambil sekiranya terdapat bank yang gagal mematuhi pelaksanaan pengecualian fi berkenaan yang telah berkuat kuasa semalam.

“Sekiranya ada mana-mana pengguna mendapati masih dikenakan fi RM1 bagi pengeluaran di ATM milik bank, mereka boleh membuat laporan kepada BNM untuk tindakan lanjut,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata pengecualian yang berkuat kuasa semalam itu hanya terpakai kepada ATM yang dimiliki dan dikendalikan oleh bank yang menyertai rangkaian perkongsian ATM, sekali gus membolehkan pelanggan mengeluarkan wang tunai daripada mana-mana ATM berkenaan tanpa dikenakan caj RM1.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani menjelaskan pengecualian fi RM1 itu kini meliputi kira-kira 84 peratus atau hampir 16,000 ATM milik bank di seluruh negara. 

“Manakala baki 16 peratus ATM yang dikendali oleh syarikat persendirian yang bukan bank dan beroperasi di bawah perjanjian komersial yang berbeza masih mengenakan fi RM1,” katanya.

Beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan susulan pertanyaan orang ramai di media sosial mengenai pelaksanaan pengecualian fi RM1 bagi pengeluaran tunai di ATM

Bagi mengelakkan kekeliruan, Fahmi menasihatkan pengguna supaya mengenal pasti ATM milik bank melalui logo bank yang dipaparkan pada mesin berkenaan, berbanding mesin kendalian pihak ketiga.

Beliau berkata Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dijangka mengeluarkan kenyataan bersama dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan pengecualian fi itu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata pembukaan Pusat Pembangunan Global (Global Development Centre) oleh sebuah syarikat teknologi kewangan antarabangsa di Tun Razak Exchange (TRX) dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi global bagi bakat digital dan teknologi kewangan, khususnya berteraskan kecerdasan buatan ejen (Agentic AI).

Beliau berkata pelaburan sulung seumpamanya di Malaysia itu membuktikan keyakinan tinggi pelabur asing terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi di bawah Kerajaan MADANI untuk terus memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

“Ini merupakan kali pertama sebuah syarikat teknologi kewangan membuka pusat global seumpamanya di Malaysia.

“Ia membuktikan bahawa kestabilan politik dan kestabilan dasar di bawah Kerajaan Madani berjaya meningkatkan keyakinan pelabur, khususnya pelabur asing, untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya. – 2 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related