KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan 6 akan diumumkan dalam pembentangan belanjawan akan datang, menyamai kemudahan yang dinikmati pelajar Program Matrikulasi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, bagaimanapun enggan memperincikan perkara itu ketika ini demi menghormati peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) sepanjang tempoh kempen PRN Johor.
Menurut Anwar, cadangan tersebut sebenarnya telah pun dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
“Saya tak boleh umum lebih daripada itu di Johor kerana ia melanggar peraturan pilihan raya. Tetapi perkara ini telah diangkat oleh menteri pendidikan dalam mesyuarat Kabinet beberapa ketika dulu.
“Saya kata tunggu semasa Belanjawan 2027, saya umumkan berita yang baik,” katanya ketika menjawab soalan mengenai kesediaan kerajaan memberi elaun kepada pelajar STPM pada sesi soal jawab Program ‘Temu Anwar Johor Kedepan’ di Muar lapor FMT.
Langkah ini selari dengan pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti membabitkan pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menyentuh soal jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, Anwar mendedahkan beliau sudah mengusulkan formula baharu kepada KPM untuk memecah rintangan tersebut.
Melalui pendekatan ini, syarikat-syarikat gergasi yang meraih keuntungan besar di Malaysia akan dikerah untuk memayungi sekolah-sekolah yang memerlukan.
“Setiap daerah mulai sekarang akan memilih 10 sekolah rendah, 10 sekolah menengah di seluruh Malaysia sebagai ujian bagaimana kita boleh berikan tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan. Itu permulaan walaupun ada cara lain yang KPM sedang selenggarakan.
“Semua syarikat besar yang mendapat keuntungan besar, saya minta untuk mengambil sekolah angkat, sekolah rendah dan sekolah menengah angkat untuk bantu, memberi serta menambah kemudahan supaya diangkat martabat dan mutu pendidikan,” tegas beliau.
Pelan serampang dua mata ini akan menyaksikan KPM bertindak sebagai pemantau, manakala Kementerian Kewangan (MOF) akan menyelaraskan komitmen bersama syarikat-syarikat korporat terbabit. – 5 Julai, 2026
