HEADLINES

Zaman ‘budaya sakau’, politik kayakan kroni sudah berakhir: Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras dan jaminan mutlak bahawa Kerajaan Madani komited melahirkan barisan kepimpinan bersih tanpa mengira kaum, serta tiada sesiapa pun akan dilindungi jika terlibat rasuah

8:31 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Era politik yang mengkayakan kroni dan “budaya sakau” kini diisytiharkan tamat sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan amaran keras tersebut sambil menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Madani dalam melahirkan barisan kepimpinan yang bersih, telus, dan melangkaui sempadan kaum.

Menurut beliau, agenda pragmatik kerajaan ketika ini adalah untuk melakukan “pembersihan” total ke atas sistem pentadbiran negara yang selama ini dicemari rasuah berakar umbi.

Langkah drastik ini kritikal bagi memastikan setiap sen hasil bumi Malaysia dipulangkan sepenuhnya demi memartabatkan kebajikan rakyat.

Menyedari taktik kotor pihak tertentu yang sengaja memainkan sentimen perkauman sempit, Anwar menyeru rakyat untuk bangkit menilai pemimpin berteraskan nilai integriti dan kejujuran, dan bukannya bersandarkan retorik politik yang sekadar menutup penyelewengan silam.

“Tanya saya, saya tak mahu pemimpin itu jadi pemimpin… saya nak Melayu yang baik, jujur, tak korup jadi pemimpin… saya nak Cina yang baik, tak korup jadi pemimpin,” tegas beliau ketika berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati, malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Kuasa bukan tiket mengkayakan keluarga

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, membidas tindakan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

Beliau menegaskan bahawa amalan memberikan kontrak kerajaan kepada ahli keluarga dan kroni wajib dihentikan serta-merta bagi membolehkan Malaysia memacu kemajuan dan meraih penghormatan di peringkat global.

“Bukan guna kuasa, masa inilah bagi anak saya kaya, bagi kontrak kepada bini saya… itu budaya dulu, budaya sakau… kerajaan mesti jaga dan hentikan perangai itu,” kata beliau lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa asakan dan desakan politik daripada pihak lawan ketika ini sebenarnya didorong oleh agenda peribadi yang rakus untuk merebut semula kuasa pemerintahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan mutlak bahawa tiada kompromi atau perlindungan akan diberikan kepada mana-mana individu sekiranya didapati terlibat dalam sebarang salah laku rasuah sepanjang pentadbiran beliau.

Seruan buat pengundi Johor

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, beliau menggesa seluruh rakyat, khususnya para pengundi, untuk menggunakan hak demokratik mereka bagi menolak terus pemimpin yang tidak berintegriti demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang.

Program di Sungai Mati ini merupakan destinasi kelapan yang dihadiri Anwar semalam, sekali gus melengkapkan 15 siri jelajah beliau dalam tempoh dua hari di Johor.

PRN Johor kali ini menyaksikan saingan sengit melibatkan 172 calon yang merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai, manakala hari pengundian biasa pada 11 Julai ini. – 6 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related