HEADLINES

Adakah Bersatu cukup korum untuk MPT berfungsi dan bermesyuarat secara sah? : Ronald

Ronald berkata, kegagalan membuktikan bahawa syarat korum tersebut masih dipenuhi akan mencetuskan persoalan serius mengenai keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT

4:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mempersoalkan sama ada Bersatu, yang kini berdepan dengan isu peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) mempunyai korum yang mencukupi untuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu berfungsi dan bermesyuarat secara sah.

Naib Presiden Bersatu yang digantung itu berkata, ini kerana Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu mensyaratkan kehadiran korum melebihi separuh daripada jumlah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Malah, katanya, kegagalan membuktikan bahawa syarat korum tersebut masih dipenuhi akan mencetuskan persoalan serius mengenai keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.

“Apabila korum tidak lagi mencukupi, Bersatu berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan penuh kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Turut mengambil langkah sama menyerahkan surat peletakan jawatan pada minggu lalu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sena merangkap Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor.

Berikutan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas perkara berkenaan berkata parti itu akan meneliti isu peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk Abu Bakar bagi mencari penyelesaian secara dalaman.

Menurut Muhyiddin, beliau akan memastikan semua maklumat berkaitan dikumpulkan dan diteliti sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.

Mengulas isu tersebut, Ronald memberitahu, ⁠kenyataan Muhyiddin itu tidak menjawab persoalan paling asas iaitu sama ada MPT masih boleh berfungsi dan bermesyuarat kerana tidak cukup korum.

“⁠Perletakan jawatan beberapa AMPT tersebut juga merupakan manifestasi jelas bahawa Presiden Bersatu gagal menguruskan krisis dalaman sehingga kehilangan keyakinan sebahagian besar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipimpinnya,’’ katanya.

Menurut Ronald, kemelut dalaman Bersatu adalah amat memalukan dan mungkin hanya boleh diselesaikan melalui campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros) selain menjejaskan kedudukan parti itu sebagai sebuah parti politik.

Malah, katanya, ia berpotensi mengganggu kelancaran pentadbiran serta perancangan strategik Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan datang.

Justeru, kata beliau, Majlis Tertinggi PN wajar mengadakan bermesyuarat dengan kadar segera bagi menilai kedudukan Bersatu dalam gabungan itu serta mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu demi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan Perikatan Nasional tidak terjejas akibat krisis dalaman sebuah parti komponen.

“Kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik yang menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia mesti mengatasi kepentingan mana-mana individu.

“Krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan ini untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa,’’ katanya. – 11 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related