KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) pada Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata nama itu diperkenalkan bagi memudahkan rakyat memahami persefahaman kedua-dua gabungan, selain mengelak kekeliruan singkatan PN dan BN yang sering digunakan secara berasingan.
“Kita namakan ini supaya orang tidak keliru lagi. Di Negeri Sembilan ini kita mulakan dengan Perikatan Barisan Nasional kerana ramai orang sebut PN, BN, PN, BN.
Beliau berkata demikian selepas Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Repah dan Gemencheh di Felda Bukit Rokan, di sini, malam tadi.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Tampin yang juga Ketua Umno bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Isa turut hadir ke program berkenaan.
Ketika ditanya kemungkinan PBN akan didaftarkan secara rasmi, jelas Hamzah hal itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Ini baru saya keluarkan malam ini. Saya akan berjumpa rakan-rakan dahulu dan kita tengok macam mana,” katanya lapor BH.
Beliau turut memberi jaminan semua parti komponen PN akan mematuhi arahan supaya membantu kemenangan calon BN pada PRN Negeri Sembilan.
Kerjasama PBN bagi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini disahkan dengan pembahagian 36 kerusi DUN, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN mengambil baki 11.
Kedua-dua blok turut menggabungkan jentera pilihan raya, dengan PN menyatakan sokongan awal agar jawatan Menteri Besar diserahkan kepada BN sekiranya menang. – 22 Julai, 2026
