HEADLINES

Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional hanya disebut dalam ucapan kempen: Zahid

'Tetapi kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan,' kata Zahid

3:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan persefahaman kerjasama bagi mewujudkan Perikatan Barisan Nasional (PBN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, cadangan berkenaan hanya disebut dalam ucapan kempen sahaja.

“Sebaiknya adakan perbincanganlah. Kita ‘formalize’ (lakukan secara rasmi) lah kalau itu serius cadangannya.

“Tetapi kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Mesyuarat Pelarasan antara KKDW bersama Exco-exco luar bandar (MEXCLUB) ke-61 Bilangan 1 2026 di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya pakatan pilihan raya BN-PN bagi Negeri Sembilan dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional.

Menurut Hamzah, cadangan nama tersebut dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, PN-BN mungkin sukar disebut oleh sesetengah pihak, manakala PBN lebih ringkas dan mudah difahami oleh pengundi.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno dilihat kurang senang dengan istilah Perikatan Barisan Nasional yang dicadangkan oleh Hamzah berhubung persefahaman pilihan raya bagi PRN Negeri Sembilan.

Antaranya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan istilah tersebut tidak relevan kerana kerjasama berkenaan tidak membawa kepada pembentukan gabungan baharu, lapor Sinar Harian.

Sebaliknya, beliau berkata hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanyalah bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

Sementara Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan label tersebut.

“Perikatan Barisan Nasional adalah kenyataan beliau sendiri. Pemimpin kami tidak pernah bersetuju dengan perkara ini. Ia lebih kepada kerjasama, mewujudkan persefahaman, mengurangkan pertembungan dan memenangi pilihan raya negeri bersama-sama,” katanya. – 23 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Singaporean mum in uphill battle in Johor shariah court after ex-husband abducts son

Daylin Limonte Alvarez faces complex legal hurdles in getting Malaysian Islamic court to enforce child custody order granted by republic

Related