KUALA LUMPUR – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan dalam pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di lapangan terbang susulan penahanan seorang juruterbang di Indonesia, kerana dipercayai menyeludup dadah, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Madani yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pada masa ini kawalan keselamatan penerbangan diuruskan oleh pasukan polis bantuan dan ia dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang.
Menurut Fahmi, Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Pertama (penambahbaikan) yang melibatkan aviasi yang perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah dalam kalangan polis bantuan.
“Pihak Malaysia Airlines Group (MAG) juga akan diminta untuk menyemak protokol saringan latar belakang dan juga saringan kesihatan bagi juruterbang ataupun pembantu juruterbang, mengambil kira insiden yang telah berlaku,’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet hari ini.

Menurut Fahmi, pasukan PDRM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) juga diminta untuk meneliti aspek-aspek yang mungkin boleh disalahgunakan termasuk kelompangan yang mungkin ada dan ia perlu ditutup serta diuruskan dengan segera.
“Pada waktu ini kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri.
“Memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh,” katanya.
Fahmi turut memberitahu, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan tindakan susulan, selain langkah penempatan anggota PDRM bersama AVSEC di lapangan terbang selepas menerima laporan penuh mengenai kejadian berkenaan.
“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil bagi memastikan semua kelompangan dapat ditutup dengan segera,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun telah ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas pihak berkuasa Indonesia menemui 15 bungkusan yang mengandungi 70,114 biji pil ekstasi dan syabu di dalam bagasinya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata polis telah mengenal pasti seorang individu yang merupakan kakitangan lapangan terbang yang terlibat dalam proses pemeriksaan keselamatan.
Beliau memberitahu, individu terbabit akan dipanggil untuk dirakam keterangan atau ditahan sekiranya perlu.
“Individu berkenaan merupakan antara petugas yang terlibat membuat saringan di KLIA, kita akan panggil dia untuk soal siasat dan kalau ada keperluan kita akan buat tangkapan,” katanya. – 5 Ogos, 2
