HEADLINES

Siasat ‘sampai ke lubang cacing’: Agong mahu dalang skandal Tabung Haji diheret ke muka pengadilan

Sultan Ibrahim tegaskan tiada kompromi atau 'perlindungan' buat mana-mana pihak yang salah guna kuasa dalam isu pengurusan dana TH, menjelang perbahasan khas di Parlimen

12:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah tegas mahu siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.

Langkah itu ditegaskan Seri Paduka Baginda bagi memastikan setiap individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan, sekali gus membendung isu kecurangan tadbir urus serupa daripada berulang di institusi pengurusan dana jemaah haji negara itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif tanpa sebarang kompromi.

“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda.

Titah lantang itu dikeluarkan selepas Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam di Istana Bukit Tunku hari ini.

Dalam pertemuan berkenaan, Anwar menyembah maklum perincian serta taklimat berhubung kandungan Laporan RCI TH, di samping isu semasa melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Laporan RCI TH yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai dapatan penting dan kecelaruan ketara berkaitan pengurusan serta tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Penubuhan RCI ini sebelum ini dicetuskan berikutan siri kontroversi pengurusan kewangan TH, termasuk dakwaan salah guna kuasa, isu pembayaran dividen yang tidak mengikut ketetapan undang-undang akibat defisit akaun, serta penyimpangan pelaburan aset jutaan ringgit.

Pendedahan penemuan RCI ini dijangka membolehkan tindakan susulan diambil terhadap bekas jawatankuasa pengurusan atau individu penentu keputusan yang terlibat sewaktu tempoh berkenaan.

Perkembangan ini bakal mencapai kemuncaknya apabila satu sidang khas Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan penuh RCI berkenaan. – 8 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related