KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat bakal bersidang esok bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang mendedahkan pelbagai kepincangan serius antara tahun 2014 hingga 2020.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15, persidangan sehari itu akan bermula jam 10 pagi dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia serta platform media rasmi.
Sesi berkenaan akan dimulakan dengan penerangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, sebelum dibuka untuk sesi pertanyaan dan perbahasan panas oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Penggulungan perbahasan pula dijangka dikendalikan bersama oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagi memastikan ruang perbahasan secukupnya diberikan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini mengesahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, telah bersetuju membenarkan persidangan khas esok berjalan secara berterusan tanpa waktu rehat.
Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen dilaporkan telah mendaftar dan sedia mengambil bahagian dalam perbahasan penuh tumpuan ini.
Pendedahan defisit dan ‘perakaunan kreatif’
Laporan RCI setebal 211 halaman yang diterbitkan pada 29 Julai lalu itu memaparkan kelemahan tadbir urus kritikal, termasuk campur tangan politik serta agihan keuntungan yang dibuat tanpa mengambil kira kesan rosot nilai pelaburan.
Antara dapatan paling mengejutkan adalah TH sepatutnya mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion pada tahun 2017 — dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang diumumkan sebelum ini — sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai secara menyeluruh.
Dokumen berkenaan turut memperincikan krisis kewangan TH yang dipacu oleh pembayaran hibah melampaui kemampuan, amalan ‘perakaunan kreatif’, ketidaktegasan Ketua Audit Negara, serta peningkatan bebanan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Malah, RCI turut mengesan wujudnya transaksi mencurigakan dan tindakan menyembunyikan maklumat, sekali gus mendesak agar audit forensik dijalankan serta tindakan undang-undang diambil segera terhadap semua laporan polis yang pernah dibuat.
Sesi perbahasan esok juga berlangsung di bawah bayang-bayang titah tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu, yang mahu siasatan berhubung laporan RCI ini dijalankan sehingga ke ‘lubang cacing’.
“Langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang,” titah Seri Paduka Baginda. – 10 Ogos, 2026
