KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang membuat kejutan apabila bertindak keluar dewan (walkout) dan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, pagi ini.
Tindakan drastik itu diambil selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan, sebelum dipersetujui oleh Johari. Susulan pengumuman itu, kesemua Ahli Parlimen PN dilihat bangkit serentak dari tempat duduk masing-masing dan mula beredar keluar.
Terdahulu, Takiyuddin bangkit membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 bagi memohon supaya sidang khas itu ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Johari memutuskan sidang tetap diteruskan mengikut jadual dengan sesi penerangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke sidang khas tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri kini sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah mengesahkan Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia). – 11 Ogos, 2026
