KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang yang tidak mengambil bahagian dalam perbahasan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen semalam, mendapat kritikan daripada ramai, yang menyifatkan langkah berkenaan sebagai mendukacitakan.
Ini kerana isu berkenaan merentas parti politik dan mereka yang telah diberikan amanah untuk berbahas di Parlimen sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada menteri-menteri yang berkenaan.

Antara yang menyuarakan kritikan ialah penceramah bebas, Amin Idris yang kesal dengan sikap pembangkang kerana memilih untuk membuat bising di media sosial berbanding meluahkannya di Parlimen.
“Kalau beginilah sikap dan tahap mentaliti sebahagian Ahli Parlimen dalam menangani isu penyelewengan kuasa, bagaimana nak handle isu-isu lain yang dibangkitkan seperti KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP) dan lain-lain,’’ demikian tulisnya di Facebooknya hari ini.
Semalam, Ahli-ahli Parlimen pembangkang membuat kejutan apabila bertindak keluar dewan (walkout) dan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, pagi ini.
Tindakan drastik itu diambil selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan sebelum itu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 bagi memohon supaya sidang khas itu ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.
Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin pula berkata, naratif yang ditanam oleh pembangkang ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir kerana takut.
Sedangkan, kata beliau, Anwar yang memperkenalkan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat untuk menjawab pelbagai soalan daripada semua Ahli Parlimen.
“Naratif yang nak ditanam, PMX lari kerana takut. Semoga mereka semua dilindungi daripada penyakit dementia, kerana yang memperkenalkan Prime Minister Question Time (PMQT) buat pertama kalinya adalah PMX sendiri.
“Berhadapan macam-macam soalan terus kepada beliau ketika PMQT. Cuma yang tak berani bertanya soalan kepada PMX waktu PMQT secara terus adalah pimpinan agung mereka saja, kerana kerap ponteng Parlimen,’’ bidas beliau.
Menurut Sahul, pembangkang menggunakan hujah dan soalan di media sosial sedangkan ia yang sepatutnya diluahkan di Parlimen.
Semua soalan, kata beliau, dijawab oleh menteri-menteri berkenaan malah beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.
“Ahli Parlimen lain elok saja boleh berbahas di Parlimen, termasuk daripada parti pembangkang. Soalan ditanya, soalan dijawab. Tak timbul sebarang masalah pun setakat ini. Menteri Kewangan II respon, Menteri Agama respon.
“Pakar perakaunan forensik, Dr. Radzi Jidin pun membedah sama. Syed Saddiq yang sangat kritis terhadap kerajaan pun ikut membahas. Menteri Umno pun relaks saja duduk dan mendengar,’’ katanya. – 12 Ogos, 2026
