KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera lelaki cedera pada bahagian muka selepas dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar di Sungai Menyala, Port Dickson, semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohd Nasharudin Mohd Shariff , dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, yang berusia dalam lingkungan 20-an bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan untuk latihan menembak.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini bagi rawatan lanjut.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya, lapor Bernama.
Susulan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang juga anggota tentera bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. – 13 Ogos, 2026
