KUALA LUMPUR – Dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu akhirnya ditemui selamat di sekitar Central Market, di sini, malam tadi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook rasminya tengah malam tadi.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi,” katanya.
Sebelum penemuan itu, Pengetua MRSM Alor Gajah, Azaam Yacob memaklumkan bahawa polis meningkatkan rondaan di kawasan Central Market selepas menerima maklumat lokasi kemungkinan kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu berada.
Operasi rondaan berkenaan turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA serta wakil ibu bapa Muafakat MRSM Alor Gajah.
Kedua-dua pelajar ditemui di dalam pusat perniagaan Central Market sebelum wakil ibu bapa tampil memberikan bantuan awal dan menenangkan mereka.
Azaam menambah, mereka kini berada di bawah pengawasan pihak polis bagi tindakan lanjut serta proses merakam keterangan.
Sebelum ini, kehilangan dua pelajar berkenaan dilaporkan oleh pihak pengurusan maktab pada 11 Ogos lalu selepas mereka didapati tidak berada di kawasan sekolah.
Jejak lokasi terakhir mereka sebelum ini dikesan berada di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, sebelum polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan pergerakan mereka. – 15 Ogos, 2026
