KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Ahli Parmen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menepis dakwaan tular di media sosial kononnya bapa beliau telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam semalam.
Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan bahawa bapanya kini berada di kediaman mereka dan sedang berehat, sekali gus menyangkal laporan tidak sahih berkaitan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
“Untuk mereka yang bertanyakan khabar saya ucapkan terima kasih banyak dan untuk makluman, ayah saya masih di rumah sedang berehat. Semoga segalanya dipermudah dan apa jua bentuk siasatan dijalankan dengan penuh integriti, adil dan telus,” katanya.
Spekulasi berhubung penahanan Abdul Azeez yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji dari 2013 hingga 2018 mula tersebar luas di beberapa platform media sosial sejak lewat malam semalam.
Khabar angin itu tercetus selepas Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, sebelum dibentang dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dalam satu sidang khas minggu lalu.
Abdul Azeez sebelum ini dilaporkan menyatakan kesediaan beliau untuk memberi kerjasama penuh sekiranya dipanggil oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung dapatan laporan berkenaan.
Isu pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji menjadi perhatian negara sejak 2018 apabila laporan audit forensik mendedahkan pelbagai jurang tatakelola, manipulasi akaun serta pelaburan bernilai bilion ringgit yang didakwa merugikan dana simpanan jemaah.
Antara fokus utama isu kewangan tersebut membabitkan pengagihan dividen yang didakwa melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995 semasa tempoh pentadbiran BN, selain dakwaan salah guna dana kebajikan Yayasan Tabung Haji.
Penubuhan RCI TH dipersetujui oleh Kabinet bagi menyiasat secara khusus aspek pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan penuh RCI yang dibentangkan baru-baru ini memperincikan beberapa kelemahan kawal selia serta campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan tadbir urus TH.
Walau bagaimanapun, Abdul Azeez mempertahankan rekod perkhidmatannya dan menegaskan bahawa sepanjang pengurusannya, laporan kewangan dan audit tahunan TH sentiasa dibentangkan mengikut prosiding. – 16 Ogos, 2026
