HEADLINES

Dr Sam tegaskan Malaysia milik bersama, tolak unsur pemisah

Naib Presiden PAS mengingatkan kepelbagaian kaum dan agama adalah kekuatan negara, bukannya alasan untuk mencetuskan perpecahan demi potensi penuh Malaysia

9:51 AM MYT

 

SHAH ALAM – Malaysia tidak dibina oleh satu kaum sahaja, dan tidak juga dibina oleh satu anutan agama semata-mata. Semakin pantas pihak yang mahu memecahbelahkan negara menyedari hakikat itu, semakin cepat negara ini bersatu dan mencapai potensi sepenuhnya.

Demikian peringatan daripada Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri ketika beramah-mesra bersama tetamu jemputan di majlis pelbagai agama di Kelab Shah Alam di sini, semalam. – Gambar ihsan Dewan Ulamak PAS Pusat, 17 Ogos, 2026

“Kita tidak boleh mengubah demografi. Bukan lagi rahsia bahawa kaum Melayu adalah komuniti terbesar, tetapi kita berkongsi Malaysia yang sama. Ini adalah rumah kita. Malaysia dibina oleh semua kaum,” kata Ahmad Samsuri ketika berucap di hadapan majlis pelbagai agama di Kelab Shah Alam di sini, semalam.

“Malah di dalam Al-Quran juga ada dinyatakan bahawa Allah menciptakan kita berbeza-beza supaya kita dapat saling mengenali. Perbezaan kita adalah satu kekuatan. Saling mengenali akan membantu menepis sebarang kekeliruan atau rasa kecil hati,” kata Ahmad Samsuri, yang kini merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Berucap pada majlis High Tea for Peace and Harmony, Ahmad Samsuri yang lebih mesra dengan panggilan Dr Sam, mengingatkan 200 tetamu yang hadir bahawa semua agama menyentuh nilai kemanusiaan.

“Itulah persamaan yang memandu kita ke arah matlamat keharmonian dan kemakmuran bersama. Kita tidak boleh memaksa orang lain menerima cara kita, tetapi kita boleh berkongsi aspirasi yang sama,” kata Ahli Parlimen Kemaman itu, yang turut berada dalam senarai pendek PN sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau turut memberi peringatan bahawa walaupun ada pihak yang akan menggunakan isu kaum dan agama untuk mencetuskan perpecahan dan permusuhan, tindak balas terhadap perkara itu sepatutnya berasaskan dialog dan persefahaman.

Sambil meraikan kehadiran pemimpin-pemimpin agama bukan Islam di majlis tersebut, beliau berkata pemimpin agama perlu membina jambatan dan bukannya melebarkan jurang antara penganut agama lain.

Beliau menyeru semua pihak agar mencontohi Sabah dan Sarawak tentang bagaimana wilayah Borneo tersebut telah menyempurnakan kehidupan dalam keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum dan komuniti.

“Masa depan Malaysia adalah masa depan kita bersama. Kita mahukan sebuah negara Malaysia yang ditadbir dengan integriti di mana terdapat peluang untuk semua,” tambahnya.

Beliau berkata sekiranya PN diberi peluang untuk memerintah, ia akan memastikan penyelesaian yang adil bagi masalah sosio-ekonomi semasa.

“Saya tidak akan katakan bahawa kita boleh menyelesaikan semua masalah — itu hanya retorik politik; tetapi kita akan merangka formula untuk memastikan keadilan bagi semua,” katanya.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) dengan kerjasama Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) — sayap rasmi bukan Islam bagi PAS.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa; Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah; dan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Antara tetamu yang hadir termasuk ahli baharu PAS, Datuk Zaid Ibrahim, dan Presiden Parti Bangsa Malaysia, Datuk Larry Sng.

Majlis dan sesi dialog tersebut dikendalikan oleh Setiausaha DUPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz. — 17 Ogos 2026

Topics

 

Hangat

Kesuma proposes maternity allowance for 100,000 mothers, rolls out WFH policy ahead of Labour Day

The Human Resources Ministry unveils a maternity assistance proposal and upcoming work-from-home guidelines as part of its nationwide Labour Day programme, aimed at strengthening worker welfare and economic resilience

Bangsar bars expect up to 60% revenue boost after government secures World Cup 2026 broadcasts

Bar operators in Bangsar are preparing for packed venues, extended operating hours and themed match-day promotions after the government confirmed nationwide FIFA World Cup 2026 broadcasts, with businesses forecasting revenue growth of between 30 and 60 per cent during the tournament period

Controversial ‘Inspector Sheila’ arrested again, this time during Thaipusam at Batu Caves

She was detained after a confrontation with traders, leading to charges under the Penal Code and the Minor Offences Act

Related