HEADLINES

Facebook paling banyak dikaitkan kandungan judi online, diikuti YouTube, TikTok

4:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Malaysia merekodkan angka membimbangkan apabila mencecah RM958 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Facebook merupakan medium yang paling banyak dikaitkan dengan kandungan perjudian dalam talian iaitu merangkumi 78 peratus, diikuti YouTube (18 peratus) dan TikTok (empat peratus).

Bagi kandungan penipuan pula, katanya, Facebook kekal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 53 peratus, diikuti TikTok (39 peratus) dan Threads (lima peratus).

“Bagi tempoh 1 Januari hingga semalam, sebanyak 470,593 kandungan memudaratkan telah dimohon untuk diturunkan daripada platform media sosial dan daripada jumlah itu, penyedia platform bersetuju menurunkan 93 peratus atau 436,661 kandungan.

“Daripada angka tadi (470,593 kandungan), sebanyak 64 peratus adalah kandungan yang bersifat perjudian, manakala 27 peratus lagi bersifat scam (penipuan),” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen (JIM) dan MCMC di Putrajaya, hari ini.

Berikutan itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha menurunkan kandungan memudaratkan di pelbagai platform digital, selaras dengan peningkatan ancaman itu.

Fahmi turut menegaskan, setiap penyedia platform media sosial perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan tanpa bergantung pada laporan pihak berkuasa atau aduan pengguna semata-mata.

“Platform wajib memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan persekitaran dalam talian yang selamat,” katanya.

Fahmi berkata MCMC kini mempergiat operasi dan siasatan berasaskan risikan dalam mengekang aktiviti jenayah di alam maya, memperkasakan standard mandatori bagi pendaftaran pengguna akhir perkhidmatan selular awam prabayar serta memperkukuh langkah berkaitan pengesahan identiti digital.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pertukaran MoU antara JIM dan MCMC yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, perkongsian maklumat risikan serta siasatan bersama melibatkan elemen jenayah rentas sempadan dan teknologi komunikasi.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban. – 18 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related