HEADLINES

‘Kalau ada bukti penyelewengan, saya sudah laporkan kepada pihak berwajib’: Bekas Ketua Audit Negara mengenai audit TH

'Mandat saya sangat-sangat jelas, kami membuat pengauditan berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah keluarkan penyata atau sijil, adakah dalam itu disebut ada penyelewengan ke atau kecurian, ada tak sebut? Tak ada, kata Madinah

1:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad menegaskan beliau dan pasukannya tidak menyembunyikan apa-apa berhubung audit yang dijalankan ke atas Tabung Haji malah akan membuat laporan kepada pihak berwajib jika menemui bukti kecurian atau penyelewengan.

Ketika bercakap pada Wacana Musyawarah Nasional yang membincangkan mengenai Realiti dan Persepsi, Jangan Mempolitikkan Tabung Haji hari ini, Madinah berkata mandat beliau sangat jelas serta membuat pengauditan berdasarkan piawaian dan bukti-bukti pengauditan.

Malah, katanya, penyata atau Sijil Audit Bersih yang dikeluarkan tidak ada menyebut mengenai penyelewengan atau kecurian.

Madinah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017 dan 2019.

“Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak atau temui apa-apa bukti ‘curi sakau’ dalam Tabung Haji jika ada pastinya saya sudah laporkan. Tidak ada penyelewengan, kecurian atau ‘sakau’ itu.

“Mandat saya sangat-sangat jelas, kami membuat pengauditan berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah keluarkan penyata atau sijil, adakah dalam itu disebut ada penyelewengan ke atau kecurian, ada tak sebut? Tak ada.

“Jadi minta maaf, saya tak boleh nak jawab dan saya tak faham apa erti sakau,’’ katanya.

Ahli panel yang lain ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Mohd Shahif Mohd Noh.

Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan TH setebal 211 halaman yang dikeluarkan pada Julai lalu, telah melaporkan wujud ketidaktegasan Ketua Audit Negara (KAN).

RCI itu melaporkan bahawa Penyata Kewangan TH daripada tahun 2014 hingga 2017 diberi Sijil Audit Bersih oleh KAN, walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebut mengenai Emphasis of Matter (EOM).

Mengulas lanjut, Madinah terkilan kerana tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan dalam isu melibatkan Tabung Haji.

“Kalau RCI panggil, saya pastinya jawab dan terangkan pada mereka tetapi mereka tidak panggil saya. Jadi saya cakap, terangkan di sinilah (Wacana Musyawarah Nasional),’’ katanya.

Madinah juga memberitahu beliau disapina untuk hadir di hadapan RCI tetapi kemudiannya dimaklumkan tidak perlu memberikan keterangan. Sedangkan, kata Madinah, beliau yang menandatangani sijil audit tersebut sebaliknya RCI menyatakan beliau tidak tegas.

“Kalau ada Quran, saya hendak angkat dan sumpah sahaja, walaupun saya telah bersara saya hanya akan bercakap benar sahaja tanpa takut tentang isu audit Tabung Haji,’’ katanya. – 25 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related