HEADLINES

71 kontena ke Israel didakwa ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, sebahagian sudah berlabuh

Nazari turut memberi amaran mengenai berulangnya penghantaran sedemikian, yang menunjukkan dengan jelas kemungkinan wujudnya rantaian bekalan barangan ke Israel yang bersifat rutin dan tersusun

2:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia mendakwa sekurang-kurangnya 71 kontena yang menuju ke Israel sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, dengan sebahagian daripadanya telah tiba dan berlabuh di pelabuhan tersebut.

Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr Nazari Ismail, berkata ia berdasarkan dokumentasi yang disediakan inisiatif ‘No Harbour for Genocide’ dan BDS Malaysia telah memaklumkan perkara itu kepada kerajaan Malaysia.

Justeru, BDS, katanya menggesa tindakan lanjut diambil bagi mengelakkan Malaysia daripada terlibat secara tidak langsung dalam genosid yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.

“Kerajaan digesa mengambil tindakan sewajarnya, bukan sahaja menyekat kontena tersebut tetapi penyiasatan rapi perlu dilakukan supaya perkara ini tidak berlaku lagi dan Malaysia tidak dijadikan tempat persinggahan kontena seumpama itu.

“Difahamkan, kontena itu melalui beberapa negara termasuk Filipina, China, Vietnam, Indonesia dan Malaysia sebelum ke Israel,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa, hari ini.

Nazari turut memberi amaran mengenai berulangnya penghantaran sedemikian, yang menunjukkan dengan jelas kemungkinan wujudnya rantaian bekalan barangan ke Israel yang bersifat rutin dan tersusun.

Keadaan ini, ujar beliau, menjejaskan dasar solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin dan melanggar kewajipan pihak ketiga untuk mengambil segala langkah yang diperlukan bagi mencegah genosid di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, pada 7 Ogos, pihak berkuasa Malaysia telah menghalang kargo yang ditujukan kepada Elbit Systems, pengeluar senjata terbesar Israel dan ini menunjukkan penguatkuasaan adalah sesuatu yang boleh dilakukan apabila terdapat kemahuan politik.

“BDS Malaysia menggesa kerajaan supaya bergerak melangkaui tindakan pemintasan secara ad hoc dengan melaksanakan langkah-langkah menyeluruh, termasuk larangan terhadap semua kapal dan kargo yang menuju ke Israel.

“BDS mengalu-alukan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menghalang kapal dan kargo yang menuju ke Israel daripada menggunakan kemudahan pelabuhan Malaysia malah Perdana Menteri (berikrar) Malaysia tidak akan sekali-kali menjadi laluan perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin,’’ katanya.

Justeru, katanya, BDS dengan tegas memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sekatan menyeluruh terhadap semua kontena yang menuju ke Israel dengan semua kontena yang ditujukan ke Israel dan kini berada di pelabuhan-pelabuhan Malaysia hendaklah disita.

Selain itu, kata Nazari, mekanisme usaha wajar (due diligence) perlu dilaksanakan segera bagi memastikan pelabuhan Malaysia tidak menyediakan perkhidmatan, kebenaran berlabuh atau laluan melalui perairan wilayah Malaysia kepada kapal yang membawa kargo ke Israel, sekiranya ia melanggar dasar Malaysia dan undang-undang antarabangsa.

“Langkah lain ialah tindakan pertanggungjawaban serta penalti dikenakan terhadap kapal-kapal yang melanggar undang-undang dan peraturan Malaysia berkaitan penghantaran dan pemindahan kargo ke Israel,’’ katanya.

Jelasnya, BDS juga menggesa Malaysia supaya memainkan peranan kepimpinan dalam Hague Group, yang dibentuk oleh negara-negara dari seluruh dunia untuk mengambil “langkah perundangan dan diplomatik yang diselaraskan” terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, khususnya melalui kawalan terhadap pemindahan maritim.

Ia bagi memastikan tindakan diambil di peringkat antarabangsa untuk menghalang pemindahan maritim yang menyalurkan bekalan kepada genosid, dasar aparteid dan pendudukan haram Israel. – 4 September, 2026

Topics

 

Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related