HEADLINES

Individu disabit kes rasuah terutama berprofil tinggi perlu jalani hukuman penuh: PH

11:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) berpendirian mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan mahkamah.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataannya berkata, prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.

“Beberapa kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut telah memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,’’ katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, PH memberi sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Majlis Setiausaha PH berkata, gabungan itu turut menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes harus disiasat dengan menyeluruh tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

“Sebagai sebuah gabungan politik, PH sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Jelasnya, PH dibina atas dukungan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut,” menurut kenyataan itu.

PH turut mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa sama kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah.

Dalam pada itu, Lembaga Pengampunan dijangka mengadakan mesyuarat Jumaat ini, dengan antara agenda perbincangkan dikatakan berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Memetik laporan Malaysia Gazette, bagaimanapun masa dan tempat tidak didedahkan, sekali gus isu yang dipohon oleh bekas Perdana Menteri itu kembali menjadi perhatian.

Malah di media sosial, isu pengampunan berkenaan turut diperkatakan dengan persoalan sama ada Najib kali ini akan mendapat ‘restu’ Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun sehingga kini tiada pengesahan rasmi mengenai agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan itu. – 9 September, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related